AM > BERITA

Banjir: Jumlah Mangsa Di Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan Dan Pahang Meningkat Petang Ini

28/11/2025 06:58 PM

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang terus meningkat petang ini manakala bilangan mangsa di Perak, Kedah, Perlis dan Kelantan merekodkan penurunan.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa meningkat kepada 6,335 orang daripada 1,913 keluarga petang ini, berbanding 5,009 orang daripada 1,488 keluarga tengah hari tadi.

Sebanyak 96 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di lapan daerah terjejas, iaitu Kemaman, Marang, Setiu, Kuala Nerus, Dungun, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu dan Besut.

Berdasarkan maklumat di aplikasi MyPublic Infobanjir, paras air di 11 sungai di Terengganu telah melepasi paras bahaya antaranya Sungai Dungun di Kuala Jengai, Dungun, Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan di Marang, Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu, Sungai Telemong di Kuala Ping (F1) di Hulu Terengganu dan Sungai Besut di Jambatan Keruak (F2), Besut.

Di SELANGOR, jumlah mangsa menunjukkan pertambahan kepada 3,125 orang daripada 838 keluarga petang ini berbanding 2,904 mangsa melibatkan 770 keluarga tengah hari tadi, yang kini berlindung di 21 PPS membabitkan lima daerah, iaitu Klang, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Sepang dan Kuala Langat.

Di NEGERI SEMBILAN, jumlah mangsa bertambah kepada 156 orang daripada 47 keluarga petang ini, berbanding 117 mangsa daripada 30 keluarga tengah hari tadi yang berlindung di empat PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Jimah Lama di Lukut, Balai Raya Permatang Pasir di Linggi, Port Dickson, SK Jijan di Labu, Seremban dan SK Undang Johol, Kuala Pilah.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,066 orang daripada 333 keluarga berbanding 952 orang daripada 301 orang tengah hari tadi.

Menurut Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kuantan merekodkan 401 orang daripada 127 keluarga yang ditempatkan di lapan PPS, manakala 289 orang (82 keluarga) ditempatkan di enam PPS di Maran, 253 orang (84 keluarga) di 11 PPS di Raub dan 123 orang (40 keluarga) di tujuh PPS di Lipis.

Infopublic Banjir pula melaporkan tiga sungai telah melepasi tahap bahaya, iaitu Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran mencatatkan 28.44 meter (m), Sungai Pahang di Kuala Tembeling, Bentong (99.72 m) dan Sungai Kuantan di Bukit Kenau di sini (21.77 m).

Sementara itu, di PERAK, jumlah mangsa petang ini berkurangan kepada 5,503 orang daripada 1,663 keluarga berbanding 5,844 orang daripada 1,766 keluarga tengah hari tadi, yang masih berlindung di 46 PPS di Manjung, Hilir Perak, Perak Tengah, Bagan Datuk, Larut, Matang dan Selama, serta Muallim.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan daerah Manjung kekal dengan jumlah mangsa tertinggi, iaitu 2,273 orang daripada 689 keluarga yang masih ditempatkan di 18 PPS.

Di KEDAH, jumlah mangsa menurun kepada 4,280 orang daripada 1,367 keluarga petang ini, berbanding 4,486 orang daripada 1,443 keluarga tengah hari tadi yang masih berlindung di 21 PPS di tiga daerah terjejas, iaitu Kubang Pasu, Kota Setar dan Pokok Sena.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah, Kubang Pasu masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 2,286 orang daripada 771 keluarga berlindung di 13 PPS, diikuti Kota Setar 1,934 orang (577 keluarga) di enam PPS dan 60 orang (19 keluarga) ditempatkan di dua PPS di Pokok Sena.

Laman rasmi Infopublic Banjir memaklumkan empat sungai di Kedah telah melepasi tahap bahaya, iaitu Sungai Anak Bukit 3.15 m, Sungai Padang Terap di Kepala Batas (3.82 m), Sungai Bata (10.863 m) dan Sungai Baru (2.074 m).

Di PERLIS, bilangan mangsa turut menunjukkan penurunan kepada 7,345 orang petang ini berbanding 7,526 orang tengah hari tadi yang ditempatkan di 24 PPS di Padang Besar, Kangar dan Arau.

Mangsa banjir di KELANTAN juga menurun kepada 3,484 orang daripada 1,259 keluarga petang ini, berbanding 4,767 orang pada tengah hari tadi, yang berlindung di 30 PPS melibatkan lapan jajahan terjejas, iaitu Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas, Machang, Tanah Merah, Bachok, Kuala Krai dan Gua Musang.

Selain itu, beberapa sungai utama di Kelantan mencatatkan peningkatan ketara paras air pada petang ini apabila sebahagiannya melepasi tahap bahaya sekali gus meningkatkan risiko limpahan air di kawasan rendah sekitar negeri itu.

Menurut Sekretariat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kelantan, paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang direkodkan pada 10.84 m melepasi paras bahaya 9.00 m, manakala di Sungai Kelantan beberapa stesen berada pada paras berisiko, dengan Kuala Krai merekodkan 22.45 m, melepasi tahap amaran 22.50 m dan Tualang mencatat 30.15 m, menghampiri paras bahaya 34.00 m.

Dalam pada itu, Melaka turut terjejas banjir apabila empat PPS dibuka di daerah Alor Gajah hari ini.

Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka, sebuah PPS di SK Masjid Tanah dibuka pada 12 tengah hari tadi, menempatkan 20 orang daripada empat keluarga.

Tiga lagi PPS, iaitu Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Jelatang Masjid Ar Rashidin dibuka pada 2 petang, Dewan Japerun Ayer Limau (2.45 petang) dan SK Ayer Jernih (3.30 petang) masih dalam proses pendaftaran mangsa.

"Penambahan PPS yang dibuka ekoran kawasan terjejas banjir di daerah Alor Gajah semakin bertambah dan sehingga kini sebanyak 13 lokasi dilaporkan dinaiki air susulan hujan lebat,” menurut kenyataan itu.

Lokasi terjejas banjir ialah Taman Masjid Tanah Ria, Pekan Masjid Tanah, Ramuan China Besar, Kampung Paya Lebar, Kampung Ayer Molek Kuala Linggi, Taman Seri Bayu 2, Bukit Balai, Kampung Gadek, Kampung Jeram, Pengkalan Balak, Kampung Belimbing Dalam, Kampung Keramat Leban dan Kampung Ayer Molek.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan