KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) hari ini memperkukuh komitmennya terhadap kesejahteraan negara dengan memberi penekanan kepada usaha pemerkasaan pelanggan, sokongan komuniti dan kelestarian bekalan tenaga untuk jangka panjang.
TNB menjelaskan dalam usaha menambah baik pengalaman pelanggan dan mempertingkat pemerkasaan pengguna, pihaknya dengan kerjasama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah memperkenalkan ciri produk pilihan Skim Masa Penggunaan (ToU) untuk pengguna domestik.
Langkah itu sebagai usaha utama untuk membantu isi rumah mengurus dan mengoptimumkan bil bulanan elektrik, menurutnya.
“Tumpuan strategik terhadap infrastruktur berteraskan pelanggan menjadi tonggak penting kepada transformasi TNB, mencerminkan komitmen lebih meluas terhadap kecemerlangan perkhidmatan dan kebolehpercayaan operasi,” tambah TNB dalam kenyataan hari ini.
Syarikat utiliti tenaga negara itu memaklumkan sejak diperkenalkan kepada pelanggan domestik pada 1 Julai, ToU muncul sebagai pilihan penting untuk rakyat Malaysia yang ingin mengawal penggunaan elektrik dengan lebih efektif.
TNB merekodkan peningkatan ketara dalam pendaftaran baharu serta pertambahan pertanyaan merentas pelbagai saluran perkhidmatan pelanggan TNB.
“Setakat ini, lebih 70,000 pelanggan telah beralih kepada ToU, mencerminkan peningkatan pemahaman awam mengenai bagaimana ToU boleh digunakan sebagai alat praktikal untuk mengurus penggunaan tenaga secara berkesan,” jelasnya.
Seiring dengan peningkatan minat terhadap ToU, TNB terus memperluas dan mempercepat pemasangan meter pintar di seluruh negara bagi membolehkan lebih banyak isi rumah memperoleh maklumat penggunaan yang lebih tepat.
“Setakat ini, sebanyak 5,081,063 meter pintar telah dipasang, menunjukkan tahap penerimaan yang lebih baik terhadap teknologi ini,” menurut TNB.
Sementara itu, bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2025, TNB mencatatkan pendapatan sebanyak RM3.2 bilion, sejajar dengan jangkaan pasaran bagi prestasi yang stabil sepanjang tempoh tiga suku pertama.
Prestasi yang berdaya tahan ini didorong oleh permintaan elektrik yang kukuh, peningkatan jualan merentas segmen pelanggan utama serta kos kewangan bersih yang lebih rendah, tambahnya.
“Sehingga September 2025, pertumbuhan permintaan terus menunjukkan trend menaik, dengan jumlah jualan elektrik mencecah 99,930 GWh, didorong terutamanya oleh pertumbuhan berterusan sektor komersial,” menurutnya dalam kenyataan yang sama.
Menurut TNB, pendapatan pihaknya turut diperkukuh oleh keuntungan terjemahan pertukaran asing sebanyak RM350 juta, hasil pengukuhan nilai ringgit daripada RM4.471 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Disember 2024 kepada RM4.215 berbanding dolar AS pada September 2025.
“Pergerakan mata wang ini memberi kesan positif kepada kedudukan kewangan TNB dan mengukuhkan kestabilan pendapatan bagi tempoh tersebut,” menurutnya.
Di samping itu, TNB memperkukuh daya harap grid dan pengalaman pelanggan melalui pelaburan bersasar dalam penyelenggaraan, keupayaan tindak balas operasi serta infrastruktur digital.
“Pada suku ketiga sahaja, syarikat telah melabur sebanyak RM3.1 bilion untuk inisiatif berfokuskan daya harap sebagai sebahagian daripada perbelanjaan terkumpul tahun semasa berjumlah RM8.3 bilion.
“Usaha ini membuahkan hasil dengan penambahbaikan yang dapat diukur, dengan Indeks Tempoh Masa Purata Gangguan Sistem (SAIDI) bertambah baik kepada 46.65 minit berbanding 47.62 minit sebelum ini,” jelasnya.
TNB juga menekankan bahawa kedudukann pltaform tenaganya diperkukuh dalam segmen digital dan kenderaan elektrik (EV).
“Kebolehcapaian digital kekal sebagai teras strategi TNB, dengan aplikasi myTNB kini digunakan oleh 7.1 juta pelanggan, bersamaan 70 peratus daripada keseluruhan pelanggan,” menurutnya.
Selain itu, selari dengan pelan hala tuju kenderaan elektrik (EV) oleh kerajaan, peluasan fasiliti pengecasan di seluruh negara terus diperkukuh dengan 5,109 titik pengecas dipasang sehingga September 2025.
TNB memaklumkan sejak awal tahun ini, rangkaian pengecasan EV telah membekalkan lebih 10 GWh elektrik dan menjana hasil sekitar RM5.1 juta, mencerminkan pertumbuhan penggunaan serta peningkatan permintaan terhadap infrastruktur EV yang lebih teguh.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata keutamaan TNB adalah sentiasa memastikan pelanggan berasa disokong, dimaklumkan dan diperkasakan untuk membuat keputusan.
“Kami akan terus memperkukuh setiap saluran interaksi, merangkumi digital, operasi dan perkhidmatan dengan matlamat tunggal untuk memberikan nilai sebenar dan penjimatan bermakna kepada rakyat.
“Komitmen kami jelas dan tegas, kami akan terus mengambil setiap langkah yang perlu, secara berdisiplin dan bertanggungjawab bagi memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang serta menambah baik pengalaman tenaga rakyat Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial