AM > BERITA

DOF: 670 Kes Tangkapan Langgar Akta Perikanan Setakat Okt 2025

28/11/2025 06:11 PM

PUTRAJAYA, 28 Nov (Bernama) -- Sebanyak 670 kes melibatkan tangkapan kerana melanggar Akta Perikanan 1985 direkodkan dari Januari hingga Oktober 2025, kata Ketua Pengarah Jabatan Perikanan (DOF) Datuk Adnan Hussain.

Beliau berkata Perak mencatatkan jumlah tertinggi dengan 167 kes diikuti Kedah dan Perlis masing-masing sebanyak 98 kes.

“Negeri lain yang turut mencatat angka ketara termasuk Pahang (73 kes), Terengganu (66) dan Johor (39), menggambarkan intensiti pemantauan lapangan serta ketegasan DOF dalam membanteras pencerobohan zon, penggunaan alat tangkapan tidak sah dan kesalahan perikanan yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adnan berkata setakat Oktober 2025, sebanyak 3,004 pemeriksaan vesel di laut telah dijalankan manakala 14,801 lagi pemeriksaan di jeti dan pusat pendaratan ikan bagi memastikan semua aktiviti pendaratan mematuhi undang-undang.

Beliau berkata DOF juga menerima 10 bot penguatkuasaan baharu pada 2024, manakala 12 lagi diterima tahun ini dan penambahan aset itu meningkatkan kecekapan rondaan laut, memperkukuh pemantauan serta mempertingkatkan keberkesanan pelaksanaan Akta Perikanan 1985. 

Menurut beliau, sejumlah RM6.04 juta berjaya dikutip melalui kompaun dan hasil lelongan sitaan bagi tempoh 2020 hingga Oktober 2025 menerusi penguatkuasaan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Adnan berkata daripada jumlah berkenaan, RM4.88 juta adalah kompaun manakala RM1.16 juta merupakan hasil lelongan.

“DOF merekodkan kompaun tertinggi sebanyak RM2.02 juta, diikuti PDRM (RM1.94 juta) dan APMM (RM915,500), mencerminkan keberkesanan kerjasama rentas agensi dalam memperkukuh pematuhan undang-undang perikanan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata DOF turut mempertingkatkan kesiapsiagaan penguatkuasaan dan pemantauan di kawasan berisiko tinggi susulan Monsun Timur Laut 2025/2026.

“Jabatan turut menasihati pengusaha bot perikanan tangkapan supaya sentiasa mematuhi syarat lesen, mengelakkan operasi dalam keadaan cuaca buruk, serta memastikan aspek keselamatan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan