IPOH, 28 Nov (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) akan menjalankan misi bantuan pascabanjir di kawasan yang terjejas akibat bencana itu.
Pengurus Besar Bahagian Agihan Zakat MAIPk Suhaimi Yusoff berkata antara bantuan ialah melaksanakan kerja-kerja pembersihan di kediaman mangsa banjir bagi mengurangkan beban mereka.
"Jika diikutkan, MAIPk tidak mempunyai peruntukan yang khusus untuk (membantu) mangsa banjir kerana bantuan zakat diagihkan kepada asnaf, fakir miskin, mualaf, ibnu sabil, orang yang berhutang dan fisabililah.
"Bagaimanapun, kita sediakan juga sedikit peruntukan untuk membantu mangsa yang menghadapi bencana banjir ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Biasiswa dan Dermasiswa Profesional MAIPk Tahun 2025 yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Kewangan MAIPk Mohd Said Mohd Rais di sini hari ini.
Jumlah mangsa banjir setakat petang ini ialah 5,503 orang daripada 1,663 keluarga yang masih berlindung di 46 pusat pemindahan sementara (PPS) di Manjung, Hilir Perak, Perak Tengah, Bagan Datuk, Larut, Matang dan Selama, serta Muallim.
Terdahulu, Mohd Said dalam ucapannya berkata MAIPk menaja 26 mahasiswa cemerlang daripada keluarga berpendapatan rendah melalui Skim Bantuan Dermasiswa Bidang Profesional Dalam Negara meliputi pelbagai bidang seperti Sains Kesihatan, Perubatan, Kejururawatan, Farmasi, serta Sains Kejuruteraan dan Matematik.
Katanya, MAIPk memperuntukkan sebanyak RM1.6 juta merangkumi yuran pengajian, penginapan dan elaun sara hidup RM600 sebulan kepada mahasiswa yang terpilih sehingga tamat pengajian sepanjang tahun ini.
Beliau berkata MAIPk juga memperuntukkan RM244,000 bagi Bantuan Persediaan Persekolahan Tahun 2026 kepada 488 pelajar dalam kalangan anak yatim di 17 pusat perlindungan dan jagaan di seluruh negeri.
"Setiap pelajar ini menerima sumbangan khas RM500 untuk persediaan sesi persekolahan tahun depan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial