AM > BERITA

MyFundaction Agih Lebih 1,000 Pek Bantuan Kepada Mangsa Banjir Di Tumpat

28/11/2025 09:36 PM

TUMPAT, 28 Nov (Bernama) -- Lebih 1,000 pek makanan kering dan keperluan asas diagihkan Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction) kepada penduduk terjejas di sekitar daerah ini susulan keadaan banjir yang masih belum pulih selepas tujuh hari.

Edaran bantuan itu merupakan sebahagian daripada misi selama tiga hari bermula 26 Nov lepas, yang turut melibatkan kawasan Bachok, Kota Bharu dan Pasir Mas di Rantau Panjang.

Ketua Misi Banjir MyFundAction Mohammad Faiz Md Danuri berkata bantuan diagihkan mengikut keperluan segera yang dikenal pasti melalui tinjauan lapangan, khususnya bagi keluarga berpendapatan rendah, ibu yang mempunyai anak kecil serta warga emas.

Beliau berkata bantuan merangkumi pek makanan asas, daging bermasak sedia dimakan, kit kebersihan, kit bayi serta lampin pakai buang, dengan nilai keseluruhan melebihi RM20,000 hasil dana awam.

“Berdasarkan maklum balas yang diterima hari ini, kami akan membawa masuk tambahan 1,000 kotak makanan asas pada fasa susulan untuk komuniti yang masih terputus bekalan,” katanya kepada Bernama di Kampung Bendang Pak Yong, di sini.

Seorang penerima, Harun Jusoh, 62, berkata beliau telah menyiapkan sebuah bot kecil sebagai persediaan awal apabila paras air di kawasan rumahnya terus naik perlahan sejak pagi.

“Air tak deras, tapi naik sikit-sikit dari subuh lagi. Kami berjaga-jaga sebab kawasan sini biasa ambil masa sampai dua minggu untuk surut. Buat masa ini bekalan makan masih cukup, cuma risau kalau malam nanti jadi lebih teruk,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati beberapa laluan di kawasan kampung hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda berikutan air masih bertakung di atas jalan dan tidak selamat untuk kenderaan rendah.

Selain itu, beberapa kawasan rendah di Tumpat dan Pasir Mas terus berisiko limpahan susulan aliran air dari hulu yang kekal tinggi manakala hujan tidak menentu sejak awal pagi dijangka turut mempengaruhi paras sungai utama di negeri ini.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan