IPOH, 1 Dis (Bernama) -- Karya Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee mengandungi falsafah pemikiran mendalam yang masih relevan dan wajar dijadikan rujukan dalam mendepani cabaran moral serta perubahan sosial masa kini.
Ahli Lembaga Pengarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Datuk Seri Ahmad Burak berkata P Ramlee merupakan seorang pendidik masyarakat melalui seni dengan setiap naskhah yang dihasilkan menampilkan kritikan sosial tajam, mesej kemanusiaan serta pengajaran moral yang disampaikan secara santai namun berkesan.
"Dialog seperti dalam filem Anak Bapak jelas memperlihatkan penekanan terhadap amanah dan integriti.
"Pesanan bahawa sekali hilang kepercayaan, ia sukar dipulihkan, membuktikan bagaimana seni digunakan untuk memupuk nilai murni dalam masyarakat," katanya dalam ucapan merasmikan Seminar Pemikiran P. Ramlee di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah dekat Tanjung Malim, baru-baru ini.
Ahmad yang juga Presiden Persatuan Alumni Suluh Budiman berkata karya P. Ramlee bukan sekadar hiburan tetapi medium pendidikan yang sarat dengan nilai amanah, integriti dan pembentukan jati diri bangsa.
Beliau berkata karya P. Ramlee seperti Bujang Lapok, Anakku Sazali, Antara Dua Darjat dan Tiga Abdul turut mengetengahkan aspek disiplin, tanggungjawab, saling menghormati, kepentingan ilmu serta hubungan keluarga, selaras dengan konsep pendidikan holistik merangkumi jasmani, emosi, rohani dan intelektual.
Sementara itu, beliau berkata seminar anjuran Program Kesusasteraan Melayu, Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu UPSI dengan kerjasama Persatuan Penulis Budiman Malaysia, Persatuan Alumni Suluh Budiman, Persatuan Persuratan Melayu dan Kelab Peminat P Ramlee Pulau Pinang mengupas mengenai aspek pemikiran pendidikan, kritikan sosial dan falsafah kemanusiaan dalam karya seniman negara itu.
Presiden Persatuan Peminat P Ramlee Pulau Pinang Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata P Ramlee tidak harus dilihat sebagai penghibur semata-mata, tetapi sebagai pemikir dan pendidik masyarakat melalui seni yang merakamkan falsafah, nilai serta kritikan sosial dengan begitu halus hingga terus menjadi rujukan sepanjang zaman.
"Sebagai seseorang yang telah lama mengikuti warisan beliau, saya sering menegaskan bahawa P Ramlee bukan sahaja menghiburkan, tetapi membentuk sikap, adab dan pemikiran masyarakat Melayu," katanya.
Beliau berkata nilai pendidikan dan kemanusiaan dalam karya P Ramlee bersifat abadi malah penting untuk difahami oleh generasi muda sebagai asas pembinaan jati diri bangsa.
"Seminar seperti ini sangat penting untuk menghimpunkan sarjana dan penggiat seni serta menyemai kesedaran bahawa seni adalah pendidikan.
"Saya berharap kajian terhadap pemikiran P Ramlee terus diperluas di UPSI dan institusi lain, serta dijadikan bahan pengajaran dalam kursus seni, bahasa dan pendidikan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial