AM > BERITA

RM424.7 Juta Diperuntuk Bagi Program BALB KKDW Di Seluruh Malaysia Pada 2026

01/12/2025 02:55 PM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata peruntukan sebanyak RM720 juta bagi Program Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Sabah dalam Belanjawan 2026 adalah tidak tepat.

Beliau berkata peruntukan sebenar bagi program berkenaan ialah RM424.7 juta merangkumi Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Rubiah berkata sebanyak tiga projek baharu dan 79 projek sambungan diluluskan di bawah Program BALB Sabah bagi tahun 2025 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM103,583,900.

“Status semasa pelaksanaan projek ialah 16 projek dalam peringkat pembinaan, 39 projek dalam peringkat prapelaksanaan, 16 projek siap dan 11 projek batal.

“Bagi Belanjawan 2026, sebanyak 83 projek diluluskan di bawah Program BALB Sabah melibatkan kos projek berjumlah RM4.065 bilion dan peruntukan sebanyak RM143 juta,” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Bobbey Suan mengenai status pelaksanaan Program BALB di Sabah yang menerima peruntukan RM720 juta di bawah Belanjawan 2026 pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Menjawab soalan lain, Rubiah berkata satu projek jalan luar bandar di Parlimen Saratok iaitu Projek Jalan Serandong-Perpat Paloh Batang Maro di Betong diletakkan dalam kategori ‘simpan dan perhatian’ susulan bantahan penduduk setempat terhadap jajaran asal.

“Projek itu sebelum ini telah ditender dan kontraktor dipilih namun disebabkan itu, pelaksanaannya perlu disemak semula dengan penyediaan jajaran baharu,” katanya ketika menjawab soalan Senator Pele Peter Tinggom mengenai langkah penyelesaian bagi projek-projek Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bagi daerah Saratok dan Kabong yang lewat dilaksanakan.

Selain itu, Rubiah berkata sebanyak 12 projek infrastruktur asas bernilai RM414.14 juta telah diluluskan untuk Parlimen Saratok bagi 2025 termasuk jalan luar bandar, jambatan, bekalan air luar bandar, ameniti sosial dan perumahan rakyat sejahtera dengan enam daripadanya di peringkat prapelaksanaan manakala tiga dalam pelaksanaan.

Beliau juga berkata bagi Rancangan Perbelanjaan 2025, sebanyak 316 projek berjumlah RM734.75 juta diperuntukkan kepada Sarawak sebagai komitmen kementerian terhadap pembangunan luar bandar yang inklusif dan mampan termasuk empat projek di Kabong berjumlah RM150 juta membabitkan jalan luar bandar, jambatan serta bekalan air.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan