DUNIA > BERITA

TIGA RAKYAT MALAYSIA TIDAK DAPAT DIHUBUNGI, DIPERCAYAI BERADA DI ACEH ATAU SUMATERA UTARA

01/12/2025 07:03 PM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Konsulat Jeneral Malaysia di Medan menerima laporan daripada orang awam mengenai tiga pelancong Malaysia - dua lelaki dan seorang wanita berumur antara 63 hingga 64 tahun - yang tidak dapat dihubungi sejak 27 Nov.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, Kementerian Luar yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra berkata maklumat awal menunjukkan bahawa ketiga-tiga individu itu dipercayai berada di Aceh atau Sumatera Utara.

“Konsulat Jeneral sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk mengesahkan keberadaan mereka serta menyediakan bantuan yang diperlukan,” menurut Wisma Putra.

Kementerian itu turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang memantau rapi perkembangan susulan kejadian banjir dan tanah runtuh baru-baru ini di Sumatera Barat, yang melibatkan satu insiden berasingan membabitkan seorang rakyat Malaysia yang hilang.

Ia mengesahkan bahawa seorang warga Malaysia, Asrul Nizam Apridwson, 30, dilaporkan hilang selepas terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Padang Panjang pada 27 Nov.

“Konsulat Jeneral sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan dalam operasi mencari dan menyelamat yang sedang dijalankan,” menurut kenyataan itu.

Kementerian memaklumkan bahawa maklumat awal menunjukkan kenderaan yang dinaiki mangsa bersama tujuh warga Indonesia, dipercayai ahli keluarga, telah ditimpa tanah runtuh.

Empat penumpang Indonesia telah dikenal pasti selamat, manakala operasi mencari diteruskan terhadap mangsa warga Malaysia dan tiga lagi warga Indonesia yang belum ditemukan.

“Ibu bapa mangsa kini berada di Padang dan Konsulat Jeneral memberikan bantuan serta sokongan sewajarnya kepada keluarga sepanjang berada di sana,” menurut Wisma Putra.

Sementara itu, kementerian menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas di Sumatera Utara, Sumatera Barat dan Aceh supaya berwaspada, sentiasa peka dan mematuhi semua arahan pihak berkuasa tempatan.

“Keluarga rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas dan tidak dapat menghubungi ahli keluarga mereka digesa segera menghubungi Konsulat Jeneral di Medan untuk mendapatkan bantuan, lebih-lebih lagi memandangkan ramalan cuaca buruk dijangka berterusan,” tambah kenyataan itu.

Konsulat boleh dihubungi melalui telefon di +62 823-6164-6046 (24 jam) atau melalui e-mel di mwmedan@kln.gov.my.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan