AM > BERITA

Stok Vaksin Influenza Masih Mencukupi Sehingga Februari

01/12/2025 03:23 PM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Stok vaksin influenza yang dipasarkan di negara ini dijangka mencukupi sehingga Feb 2026, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni. 

Lukanisman berkata ia berdasarkan maklum balas yang diterima daripada Pemegang Pendaftaran Produk (PRH) sehingga 24 Okt lepas.

“Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) juga telah melaksanakan mekanisme Pelaporan Gangguan dan Pemberhentian Bekalan Ubat secara sukarela mulai 1 Ogos 2025.

“Semakan melalui sistem Pelaporan sehingga 18 Nov 2025 mendapati tiada pelaporan rasmi diterima berkaitan gangguan bekalan vaksin influenza sehingga ke tarikh ini,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Dr A. Lingeshwaran yang ingin tahu status terkini stok vaksin influenza memandangkan terdapat peningkatan kes dan permintaan vaksin sehingga banyak negeri kehabisan stok.

Lukanisman berkata setakat 10 Nov lepas, fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) mempunyai sejumlah 4,044 dos dan 2,881 dos vaksin masing-masing bagi memenuhi aktiviti suntikan kepada petugas kesihatan dan warga emas.

Beliau berkata terdapat tujuh vaksin influenza yang mengandungi virus kurang aktif strain influenza A (H3N2) telah didaftarkan di Malaysia seperti produk Vaxigrip Influenza Vaccine, Vaxigrip Tetra, Influvac Tetra, Influvac Suspension for Injection serta tiga produk SKYCellflu dalam bentuk trivalen dan kuadrivalen.

“Daripada awal tahun 2025 sehingga kini, sebanyak 2,609,235 dos telah diimport ke Malaysia. Terdapat lima penghantaran berjumlah 429,130 dos yang tiba pada 25 dan 30 Nov lepas serta 9 Dis 2025,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Lingeshwaran mengenai kawalan harga vaksin influenza di pasaran swasta, Lukanisman berkata KKM melaksanakan pemantauan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan tiada penjualan vaksin itu pada harga keterlaluan.

Mengulas sama ada kerajaan akan mempertimbangkan program subsidi vaksin influenza bagi mengelakkan kesesakan di fasiliti kesihatan, pihaknya akan mempertimbangkan kaedah terbaik dan melihat peruntukan diterima pada Belanjawan 2026 untuk mengurangkan beban masyarakat yang memerlukan suntikan itu.

Sementara itu, Lukanisman berkata KKM sedang mempertimbangkan untuk memperluas Program Penyumberluaran Perkhidmatan Hospital (HSOP) yang setakat ini telah dilaksanakan untuk perkhidmatan imbasan positron emission tomography (PET) iaitu ujian imbasan perubatan yang digunakan untuk melihat fungsi organ dalam badan dan pengimejan resonans magnetik (MRI).

“Kami fikirkan kaedah sama untuk memberi perkhidmatan bagi allied science sebagai contoh speech therapy yang memerlukan tempoh menunggu sangat panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Lingeshwaran yang ingin tahu sama ada kerajaan akan mempertimbangkan HSOP berikutan kekurangan pegawai skim sains bersekutu dan pesakit terpaksa menunggu lama mendapatkan temu janji.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan