AM > BERITA

TPM Ahmad Zahid Bincang Notis Amaran Ladang Felda, FGV Dengan MB Terengganu

03/12/2025 12:26 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berhubung isu notis amaran yang dikeluarkan kerajaan negeri ke atas lot ladang milik Felda dan FGV Holdings Berhad (FGV).

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata isu berkenaan wajar dibincangkan memandangkan Felda berada di bawah Jabatan Perdana Menteri, sekali gus menjadi bidang tanggungjawabnya untuk menangani sebarang permasalahan yang dihadapi agensi itu.

“Saya akan mengadakan perbincangan dengan Yang Berhormat Menteri Besar Terengganu mengenai perkara itu. Tidak ada isu yang tidak boleh diselesaikan. Yang penting ialah kepentingan mereka, yang juga rakyat Terengganu, dan rakyat negara kita,” katanya kepada media selepas merasmikan Cyberjaya Conversations Summit 2025 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Felda dan FGV semalam memaklumkan dalam kenyataan bersama bahawa mereka sedang menjalankan proses semakan menyeluruh ke atas semua dokumen berkaitan bagi menyelesaikan isu notis amaran yang dikeluarkan Kerajaan Terengganu ke atas lot ladang milik agensi itu dan anak syarikatnya.

Felda dan FGV menjelaskan proses semakan itu merangkumi sejarah, rekod pembayaran, bayaran premium tanah, status hak milik serta syarat-syarat pembangunan ladang.

Langkah berkenaan susulan notis amaran pendudukan secara tidak sah atau kesalahan menceroboh yang dikeluarkan ke atas ladang-ladang Felda dan FGV di daerah Besut, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu, Marang dan Kemaman pada 30 Nov, 1 Dis dan 2 Dis.

Felda dan FGV menegaskan notis-notis amaran itu tidak menjejaskan operasi ladang peneroka dan komuniti peneroka di Wilayah Terengganu, yang boleh meneruskan aktiviti sara hidup seperti biasa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan