KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Unit milik penuh Advancecon Holdings Bhd, Advancecon Infra Sdn Bhd (AISB) memperoleh satu lagi keputusan adjudikasi yang memihak kepadanya menentang China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC).
Adjudikator yang bertindak di bawah Seksyen 7 dan 8 Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan 2012 mengarahkan CCC untuk membayar RM3.33 juta kepada AISB dengan faedah lima peratus setahun mulai 4 Sept, 2025 sehingga penyelesaian penuh.
Advancecon berkata CCC juga perlu membayar RM100,000 sebagai kos adjudikasi, menanggung semua yuran adjudikator dan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia serta membayar balik kepada AISB jumlah yang didahulukan sepanjang proses tersebut.
Keputusan ini susulan satu lagi keputusan yang diumumkan pada 7 Okt, 2025 apabila AISB memperoleh kira-kira RM7.04 juta dalam pertikaian pembayaran berasingan yang berkaitan dengan ECRL.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Advancecon Datuk Phum Ang Kia berkata keputusan terbaharu itu menegaskan kekukuhan tuntutan syarikat serta nilai tadbir urus yang kukuh dalam pelaksanaan projek.
“Walaupun kesannya terhadap tahun kewangan 2025 tidak ketara, kedua-dua keputusan ini mengesahkan hak kami untuk menerima pembayaran tepat pada masanya bagi kerja yang disiapkan,” katanya.
Advancecon berkata kedua-dua keputusan itu mengesahkan kedudukan kontrak AISB dan mengukuhkan komitmen kumpulan dalam memastikan kerja-kerja yang disiapkan di bawah projek infrastruktur nasional utama diiktiraf dan diberi bayaran yang sewajarnya.
Syarikat itu berkata ia akan memantau perkembangan selepas adjudikasi dan membuat pengumuman selanjutnya seperti yang dikehendaki di bawah peraturan penyenaraian Bursa Malaysia Securities Bhd.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial