AM > BERITA

Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri Dijangka Mula Beroperasi Hujung 2026

03/12/2025 12:36 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) – Pelaksanaan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) yang dibangunkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dijangka mula beroperasi pada hujung 2026.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata projek rintis yang kini dalam fasa pembangunan itu bertujuan memberi sokongan kepada sistem grid Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata pelaksanaan BESS juga akan membolehkan kemasukan tenaga solar pada kapasiti lebih tinggi.

“Kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga telah melaksanakan Bidaan Terbuka Bagi Sistem Penyimpanan Tenaga (MyBEST) dengan kapasiti 400MW / discharging 1,600MWj bagi penggunaan BESS di peringkat utiliti,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Akmal Nasrullah menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) mengenai status pelaksanaan projek BESS, termasuk bagaimana kerajaan memastikan teknologi itu mesra alam dan tidak menambah beban pencemaran sisa bateri terpakai, serta langkah keselamatan yang diwajibkan.

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata antara inisiatif bagi memastikan teknologi bateri mesra alam dan tidak menambah beban pencemaran sisa bateri terpakai adalah dengan menyediakan proses Kejuruteraan, Perolehan dan Pembinaan Sumber (EPC) mengenai kaedah pembongkaran, penamatan operasi, pelupusan dan pengitaran semula pepasangan bateri, selaras perundangan tempatan.

“Ia juga meliputi Pematuhan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling serta Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007, pelaksanaan Environmental Management Plan bagi projek BESS selain pengitaran semula komponen bateri mengikut undang-undang yang terpakai,” katanya.

Dari aspek keselamatan, Akmal Nasrullah berkata sistem itu akan dipastikan patuh kepada piawaian antarabangsa yang berkaitan seperti IEC62619 dan UL9540.

“BESS juga akan memenuhi keperluan pihak bomba berkenaan keperluan keselamatan dan pematuhan yang diperlukan bagi pepasangan BESS iaitu NFPA855: Standard for the Installation of Stationary Energy Storage System.

Piawaian NFPA 855 adalah sumber rujukan utama bagi mengurangkan risiko kebakaran dan letupan yang berkait dengan pepasangan BESS.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan