AM > BERITA

Lelaki Diserang Buaya: Perhilitan Perak Nasihat Orang Ramai Berwaspada

03/12/2025 03:05 PM

IPOH, 3 Dis (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak menasihati orang ramai supaya berhati-hati semasa melakukan aktiviti di sekitar kawasan Sungai Perak berikutan insiden seorang lelaki diserang buaya di Kampung Sungai Buaya dekat Teluk Intan, Sabtu lepas.

Pengarah Perhilitan Perak Yusoff Shariff berkata orang ramai, khususnya nelayan tidak dibenarkan meranduk sungai atau melakukan aktiviti penangkapan ikan secara bersendirian semasa berada di sekitar kawasan itu.

"Pihak Perhilitan Perak melakukan pemantauan di sekitar kawasan Sungai Perak dan telah memasang papan tanda amaran ancaman buaya bagi mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati kerana sudah tentu tidak mahu sebarang kejadian tidak diingini berlaku," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan seorang lelaki cedera parah di bahagian lutut akibat dibaham buaya dalam kejadian di kawasan kebun di Kampung Sungai Buaya, Teluk Intan pada Sabtu. 

Yusoff dilaporkan berkata pihaknya menerima laporan pada 6.30 petang dan mangsa yang cedera kemudiannya dirawat di Hospital Teluk Intan.

Beliau berkata pihaknya tidak menolak kemunculan buaya yang menyerang lelaki itu datang daripada limpahan tali air berdekatan susulan banjir yang melanda kawasan sekitar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan