KUANTAN, 3 Dis (Bernama) -- Penyelidik Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melakar sejarah apabila berjaya menghasilkan grafit sintetik menggunakan pelepah sawit (OPF) dan tempurung kelapa sawit (PKS), sekali gus membuka peluang baharu dalam sektor Pertumbuhan Tinggi Nilai Tinggi (HGHV) negara.
Penemuan pertama seumpamanya di Malaysia itu menggunakan kaedah penukaran biojisim pada suhu lebih rendah tanpa penggunaan bahan kimia berbahaya, yang menawarkan alternatif mampan kepada industri tenaga dan pembuatan.
Ketua projek Prof Dr Jose Rajan yang juga Felo Penyelidik Utama Pusat Kecerdasan Bahan Termaju (CAIM) berkata penghasilan grafit sintetik daripada sisa biojisim sawit dapat mengurangkan kebergantungan kepada sumber semula jadi yang semakin berkurangan.
Beliau berkata grafit ialah komponen penting dalam bateri litium-ion, menyumbang kira-kira 28 peratus daripada keseluruhan struktur bateri yang digunakan dalam peranti mudah alih dan kenderaan elektrik (EV) yang semakin berkembang di negara ini.
Profesor Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) itu berkata Malaysia mempunyai kelebihan kompetitif kerana negara menghasilkan kira-kira 127 juta tan biojisim sawit setiap tahun yang berpotensi ditukar kepada bahan bernilai tinggi.
“Pasukan penyelidik telah mengoptimumkan protokol sintesis untuk menghasilkan bahan pengganti grafit semula jadi bagi kegunaan elektrod penyimpanan tenaga.
“Kebiasaannya, proses penggrafitan memerlukan suhu melebihi 2,500°C, namun dalam kajian ini biojisim sawit dirawat di bawah 1,100°C untuk membolehkan pembentukan struktur grafitik,” katanya menerusi kenyataan kepada Bernama.
Katanya, penurunan suhu itu membuka peluang kepada pengeluaran grafit sintetik yang lebih lestari dan kos efektif berbanding kaedah tradisional atau sumber semula jadi.
Beliau berkata selain industri tenaga, grafit turut digunakan secara meluas dalam sektor keluli, pelincir, pigmen serta elektronik yang memerlukan bahan karbon berkualiti tinggi.
“Penghasilan grafit daripada biojisim menyokong konsep ekonomi kitaran kerana sisa pertanian dapat ditukar kepada produk bernilai tambah,” katanya.
Kajian berkenaan turut mendapat sokongan penyelidik lain, iaitu Pengarah CAIM Dr Izan Izwan Misnon dan pelajar pascasiswazah terdiri daripada Dawn Sivan, Gayathry Ganesh, Saima Zafar, Cherraka Ashwati dan Mohammad Ullah.
Dalam pada itu, pasukan penyelidik UMPSA turut berjaya membangunkan superkapasitor menggunakan grafit sintetik itu yang menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan ketumpatan tenaga 36 Wh/kg dan ketumpatan kuasa 2,400 W/kg.
Peranti berkenaan turut mengekalkan kestabilan selepas 10,000 kitaran penggunaan, sekali gus membuktikan potensi penggunaannya dalam teknologi penyimpanan tenaga moden.
Tumpuan kini diberikan kepada pembangunan bateri litium-ion dan natrium-ion untuk mengoptimumkan ciri material grafit sintetik berasaskan biojisim sawit.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial