AM > BERITA

KD Hang Tuah Dilucut Tauliah Selepas Lima Dekad Berbakti Kepada Negara

03/12/2025 04:36 PM

IPOH, 3 Dis (Bernama) -- Kapal Diraja (KD) Hang Tuah yang berkhidmat dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sejak 1977 secara rasmi dilucut tauliah dalam acara penuh istiadat ketenteraan yang berlangsung di Pangkalan TLDM Lumut hari ini.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat dalam kenyataan memaklumkan upacara penuh simbolik itu disempurnakan Panglima Armada Barat Laksamana Madya Datuk Baharudin Wan Md Nor.

Upacara berkenaan menandakan tamatnya perkhidmatan sebuah kapal perang yang telah mewarnai perjalanan TLDM selama hampir lima dekad.

Menurut kenyataan itu, sejak ditauliahkan ke dalam perkhidmatan Seri Paduka Baginda pada 22 Julai 1977, KD Hang Tuah memainkan peranan yang aktif sebagai kapal tempur barisan hadapan TLDM. 

"Selari dengan nama besar yang diberi, kapal ini sering ditugaskan untuk menerajui pelbagai tugas operasi untuk memelihara kedaulatan dan kepentingan maritim negara yang pada ketika itu masih baharu dan berdepan pelbagai bentuk ancaman. 

"Peranan ini bagaimanapun secara beransur-ansur diambil alih oleh kapal perang lain yang lebih moden dan berkeupayaan manakala bermula era 80-an, KD Hang Tuah lebih banyak menumpukan perhatiannya sebagai platform latihan untuk warga TLDM," menurut kenyataan itu.

Markas Pemerintahan Armada Barat memaklumkan majlis pelucutan tauliah berlangsung dalam suasana syahdu dengan kehadiran kru-kru terdahulu serta bekas Pegawai Memerintah yang pernah memegang tampuk pemerintahan KD Hang Tuah. 

"Suasana bertambah hening dan menyentuh perasaan tatkala ketukan loceng kapal bergema dan gada-gada diturunkan, masing-masing mengimbau kembali kenangan dan detik-detik bersejarah ketika berkhidmat di kapal ini.

“Detik ini bukan sekadar pengakhiran sebuah perkhidmatan, tetapi juga menutup sebuah era yang telah membentuk identiti angkatan laut negara menerusi peralihan dari kapal-kapal kecil pesisir pantai kepada keupayaan untuk beroperasi di laut lepas," menurut kenyataan itu.

Markas Pemerintahan Armada Barat memaklumkan pelucutan tauliah KD Hang Tuah juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan TLDM untuk memodenkan armadanya selaras dengan aspirasi Program Transformasi 15 kelima. 

“Program itu bertujuan untuk meningkatkan keupayaan TLDM selari dengan perkembangan teknologi dan perubahan landskap pertahanan pada kos yang optimum serta memberi pulangan lebih tinggi pada negara,” menurut kenyataan itu.

KD Hang Tuah yang dinamakan sempena Laksamana Hang Tuah berukuran panjang 103.5 meter, lebar 12.02 meter dan berat sasaran 2,300 tan serta mampu bergerak dengan kelajuan maksimum 24 knot.

Sejak pelayaran sulungnya dari Portsmouth, England bersama 163 kru anak watan, kapal yang menjadi tulang belakang pertahanan maritim negara pada era 70-an hingga 90-an itu telah belayar sejauh 313,784.95 batu nautika atau hampir 600,000 kilometer. 

Selain tugas operasi, KD Hang Tuah turut kerap menyertai eksesais dalam negara serta antarabangsa seperti Malindo Jaya, Emas Hitam, Milan, Kakadu dan Bersama Lima.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan