AM > BERITA

PM Sambut Baik Pelantikan Semula Tiga Menteri Sebagai Ahli Dewan Negara - PMO

03/12/2025 05:07 PM

PUTRAJAYA, 3 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik pelantikan semula Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar sebagai Ahli Dewan Negara bagi penggal kedua berkuat kuasa hari ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan itu membolehkan ketiga-tiga menteri meneruskan tugasan mustahak demi kesinambungan dasar, tatakelola dan agenda reformasi negara selaras dengan gagasan Malaysia MADANI.

“Dalam pada itu, Perdana Menteri juga akan memutuskan senarai menteri dan timbalan menteri Kerajaan MADANI kelak, selepas proses pertimbangan yang cermat, berhemah dan benar-benar berlandaskan kepentingan rakyat serta hala tuju reformasi negara,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Saifuddin Nasution, Zambry dan Mohd Na’im mengangkat sumpah sebagai senator bagi penggal kedua di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.

Pelantikan semula itu, yang membolehkan mereka meneruskan tugas dalam Jemaah Menteri, dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengikut peruntukan Perkara 45(1)(b) Perlembagaan Persekutuan dan berkuat kuasa mulai hari ini hingga 2 Dis 2028 selaras dengan Perkara 45(3) dan 45(3A).

Untuk rekod, mereka mengangkat sumpah bagi penggal pertama pada Disember 2022.

-- BERNAMA 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan