AM > BERITA

Hashim Hamzah Angkat Sumpah Jawatan Hakim Besar Malaya

03/12/2025 07:15 PM

PUTRAJAYA, 3 Dis (Bernama) -- Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Hashim Hamzah hari ini mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai Hakim Besar Malaya.

Hashim, 64, mengangkat sumpah di hadapan Hakim kanan Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir dan pelantikan beliau bagi menggantikan Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim yang bersara pada 15 Nov lepas.

Jawatan Hakim Besar Malaya ialah jawatan ketiga tertinggi dalam badan kehakiman.

Sementara itu, empat hakim Mahkamah Rayuan mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan di hadapan Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Mereka ialah Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, 58, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, 64, Datuk Collin Lawrence Sequerah, 65, dan Datuk Azimah Omar, 63.

Pelantikan semua hakim berkuat kuasa hari ini.

Hashim dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1 Nov  2012 dan menggalas tanggungjawab sebagai hakim Mahkamah Tinggi dua tahun kemudian. Pada 19 Mac 2021, beliau dilantik sebagai hakim Mahkamah Rayuan.

Dilahirkan di Pulau Pinang, Hashim ialah lulusan fakulti undang-undang Universiti Malaya pada 1985 dan pernah memegang pelbagai jawatan dalam perkhidmatan kehakiman dan perundangan, termasuk sebagai Majistret, hakim Mahkamah Sesyen dan Ketua Unit Pendakwaan di Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Perak dan Kedah.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai timbalan pendaftar kanan dan kemudian pendaftar kanan Mahkamah Persekutuan sebelum menyertai badan kehakiman.

Turut hadir pada majlis yang diadakan di Dewan Persidangan Istana Kehakiman itu, Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais, dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan