AM > BERITA

Johor Tingkat Kesiapsiagaan Hadapi Banjir - MB

03/12/2025 05:55 PM

JOHOR BAHRU, 3 Dis (Bernama) -- Kerajaan Johor memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi banjir dengan meningkatkan pemantauan secara berkala di kawasan rendah dan tebing sungai serta menempatkan aset di lokasi strategik.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata penyelarasan telah dibuat bersama agensi keselamatan bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil sekiranya berlaku peningkatan paras air atau keadaan laut yang membahayakan.

Beliau berkata Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan perkembangan cuaca dengan amaran hujan berterusan serta angin kencang dan laut bergelora dijangka berlaku di beberapa kawasan negara termasuk perairan terlibat di negeri itu.

“Berdasarkan laporan terkini, hujan berterusan dijangka berlaku di Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru dari 7 hingga 8 Dis manakala angin kencang kategori pertama di perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu, Kelantan, Tioman dan kawasan sekitarnya dengan ketinggian ombak antara 2.5 hingga 3.5 meter," katanya menerusi hantaran Facebook.

Justeru itu, beliau menasihati rakyat supaya berwaspada dengan keadaan cuaca dan laut, mengelakkan aktiviti rekreasi di kawasan pantai dan perairan serta mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa demi keselamatan.

Orang ramai juga disaran supaya mendapatkan maklumat semasa daripada Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta MetMalaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan