KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Seorang penyimpan dari Pantai Timur membawa pulang sebuah Proton e-MAS 7 Prime selepas diumumkan sebagai pemenang cabutan bagi Kempen Save2Win 2025 anjuran Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat).
Bank Muamalat dalam kenyataan hari ini memaklumkan Datuk Hassan Mohamood dari Cawangan Kota Bharu menerima kenderaan elektrik itu pada majlis penyampaian hadiah di Kota Bharu, selepas terpilih sebagai antara pemenang cabutan Mei hingga Oktober 2025.
Proton e-MAS 7 Prime berkenaan merupakan sebahagian daripada hadiah keseluruhan bernilai lebih RM3.5 juta yang ditawarkan melalui kempen Save2Win tahun ini. Pemenang cabutan bulanan turut menerima hadiah lain termasuk iPhone 16 Plus, baucar percutian RM10,000 dan wang tunai RM5,000.
“Cabutan bagi November, iaitu cabutan kedua terakhir bagi kempen akan diadakan bulan ini sebelum cabutan terakhir pada Januari, dengan pemenang utama yang bakal memenangi hadiah berupa kondominium mewah akan diumumkan,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Datuk Khairul Kamarudin berkata sambutan menggalakkan daripada penyimpan, khususnya di Pantai Timur mengukuhkan kedudukan Save2Win sebagai antara kempen galakan menyimpan paling menarik di negara ini.
“Sambutan luar biasa daripada penyimpan, terutama di Pantai Timur, membuktikan keyakinan tinggi terhadap produk simpanan Bank Muamalat. Melalui Save2Win 2025, kami bukan sahaja memberi ganjaran menarik, tetapi turut memupuk budaya menyimpan sebagai asas kesejahteraan kewangan jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata peluang masih terbuka bagi penyimpan untuk melayakkan diri dalam dua cabutan terakhir yang menawarkan hadiah terbesar kempen.
“Cabutan terakhir Save2Win 2025 akan diadakan pada Januari depan. Kami menggalakkan orang ramai terus menambah simpanan dan merebut peluang memenangi kondominium mewah, selain pelbagai hadiah bernilai tinggi lain yang akan diumumkan,” katanya.
Maklumat lanjut mengenai Save2Win serta produk Bank Muamalat lain boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi bank atau mana-mana cawangan terdekat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial