KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) – Transformasi Malaysia menuju negara mesra Orang Kurang Upaya (OKU) memerlukan kerjasama menyeluruh merentasi seluruh ekosistem sosial dan ekonomi, bukan hanya dipikul oleh kerajaan semata-mata.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam kenyataan kepada Bernama berkata, kerjasama strategik antara agensi kerajaan, sektor swasta, komuniti, dan OKU membolehkan dasar serta program yang digubal benar-benar memberi impak, bukan sekadar bersifat simbolik.
Hal ini juga menjadi asas kepada pembentukan ekosistem inklusif yang bukan sekadar melindungi, malah memperkasa OKU sebagai aset pembangunan negara, selaras dengan tema Sambutan Hari OKU (HOKU) tahun ini, “Masyarakat Inklusif OKU, Kunci Kemajuan Sosial.”
“Sektor swasta digalakkan mengamalkan polisi pengambilan inklusif, menyesuaikan tempat kerja mengikut keperluan OKU, serta memberi peluang latihan dan pembangunan kerjaya.
“Melalui program tanggungjawab sosial korporat, syarikat juga boleh menyumbang kepada inisiatif latihan vokasional, kemahiran digital, dan inovasi teknologi inklusif,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.
Selain itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) memainkan peranan penting dalam penguatkuasaan piawaian kebolehcapaian fizikal dan digital, termasuk audit reka bentuk sejagat serta pensijilan bangunan mesra OKU.
Transformasi inklusif ini juga tidak akan berjaya tanpa sokongan pertubuhan masyarakat sivil dan badan bukan kerajaan (NGO), yang berperanan sebagai rakan strategik dalam advokasi, pemberdayaan komuniti, serta penyampaian khidmat sokongan.
“Mereka menjadi jambatan antara komuniti OKU dan pembuat dasar, memastikan suara akar umbi didengar dan disalurkan secara konstruktif. Begitu juga institusi pendidikan dan media berperanan memupuk kefahaman masyarakat melalui pendidikan inklusif serta liputan positif tentang keupayaan OKU.
“Media khususnya boleh memecahkan stigma dengan menonjolkan kisah kejayaan dan inovasi OKU sebagai inspirasi nasional,” katanya.
JKM berkata, program Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) kekal sebagai tonggak utama pemulihan dan pembangunan komuniti OKU di negara ini, dengan lebih daripada 580 buah PDK telah diwujudkan di seluruh negara.
Beberapa PDK di seluruh negara berjaya melaksanakan program Pemerkasaan Ekonomi Berasaskan Komuniti (EEP), seperti kraf tangan, jahitan, pertanian bandar, dan penghasilan produk makanan, sekali gus meningkatkan kemahiran kendiri dan kebolehpasaran peserta.
JKM memaklumkan terdapat dalam kalangan peserta kini menjalankan perniagaan mikro secara berdikari dengan bimbingan JKM dan rakan NGO tempatan, membuktikan keberkesanan pendekatan komuniti dalam membangunkan potensi OKU.
“Ia merupakan antara strategi dalam pembangunan komuniti untuk rehabilitasi, penyamaan peluang, dan integrasi sosial bagi OKU.
“Program ini juga mengadaptasi CBR Matrix, alat yang dibangunkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk membimbing strategi pemulihan berasaskan komuniti (Community-Based Rehabilitation),” katanya.
Pada masa sama, Inisiatif Anugerah Majikan Prihatin OKU diadakan bagi mengiktiraf syarikat dan usahawan kecil yang membuka peluang pekerjaan, membuktikan bahawa dengan latihan dan sokongan sesuai, OKU mampu menyumbang secara produktif dalam pasaran kerja terbuka.
“Kejayaan ini menunjukkan bahawa apabila kerajaan, sektor swasta, dan komuniti bekerjasama, model inklusi sosial bukan sekadar dasar, tetapi realiti yang membawa perubahan sebenar dalam kehidupan OKU dan masyarakat sekelilingnya,” katanya.
JKM turut mengadakan program Job Coach Malaysia sebagai platform penting bagi menyokong penyertaan OKU dalam pasaran kerja, memberi bimbingan dalam latihan, kesesuaian tempat kerja, dan pengurusan diri.
Pelbagai skim bantuan seperti Elaun Pekerja OKU (EPOKU), Bantuan Penjagaan OKU Terlantar (BPT), dan Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB) terus disalurkan bagi meringankan beban hidup penerima dan menggalakkan penyertaan mereka dalam aktiviti ekonomi.
Sehingga Oktober lepas, lebih daripada 803,731 OKU telah berdaftar di bawah tujuh kategori utama, menunjukkan peningkatan kesedaran dan kepercayaan terhadap sistem kebajikan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial