AM > BERITA

Pusat Pengumpulan Sisa Pepejal Di Tampin Dijangka Beroperasi Penghujung 2027 - Exco

04/12/2025 06:50 PM

SEREMBAN, 4 Dis (Bernama) -- Pusat pengumpulan sisa pepejal sementara di Kampung Keru, Tampin dijangka beroperasi pada penghujung 2027, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri J. Arul Kumar.

Beliau berkata kawasan seluas 26.7 hektar (65 ekar)  yang dicadangkan untuk pembinaan pusat itu kini dalam dalam proses pengambilan tanah dan pelaksanaan projek akan dimulakan sebaiktersebut selesai.

"Kami dimaklumkan pengambilan tanah turut melibatkan tanah milik individu, jadi ia mengambil masa. Sebaik semuanya selesai,kerja pembinaan akan dijalankan segera. Kami jangkakan pusat itu siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun lagi.

"Pusat ini akan berfungsi sebagai transit kepada lori kompaktor sebelum semua sisa pepejal daripada kawasan Jempol, Tampin, Kuala Pilah dihantar ke tapak pelupusan di Tanah Merah, Port Dickson," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi Rakan Sinergi SWCorp Negeri Sembilan 2025, Pemangkin Insiatif Hijau MADANI di sini hari ini.

Pada 29 April lepas, Arul Kumar dilaporkan berkata Kerajaan Persekutuan merancang membangunkan fasiliti Stesen Pemindahan Sisa Pepejal di Tampin sebagai pusat pengumpulan sisa pepejal sementara.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Nilai berkata sebanyak 155 tapak pelupusan sampah haram berjaya ditutup setakat Oktober lepas, selain pihaknya akan terus melakukan operasi dan penguatkuasaan bagi memastikan tiada tapak baharu dibuka selepas ini.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan