KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan rasa kesedihan yang mendalam atas pemergian tokoh kewangan Islam terkemuka Dr Yaqub Mirza sambil menyifatkan beliau sebagai sahabat rapat keluarga yang bercita-cita tinggi untuk dunia Islam.
Anwar berkata sumbangan Yaqub melangkaui mana-mana organisasi tunggal dan beliau memainkan peranan penting dalam membangunkan kewangan Islam melalui Amana Funds serta menubuhkan Centre for Islam in the Contemporary World di Universiti Shenandoah sekali gus mewujudkan ruang untuk perbincangan serius mengenai cabaran yang didepani umat Islam ketika ini.
“Pemergiannya merupakan satu kehilangan besar buat saya dan keluarga, lebih-lebih lagi bagi mereka di seluruh benua yang telah mendapat manfaat daripada integriti, nasihat serta teladan beliau.
"Institusi yang beliau bentuk dan individu yang beliau bantu akan terus menjadi sebahagian penting daripada legasinya,” kata beliau dalam hantaran di Facebook hari ini.
Menyifatkan Yaqub, 79, sebagai “seorang yang tidak banyak bercakap”, Anwar berkata beliau lebih gemar bertindak secara senyap daripada membicarakan apa yang sedang dilakukannya.
“Beliau sentiasa meluangkan masanya dengan rela dan tanpa mementingkan diri kepada pemimpin muda serta pekerja komuniti, selalunya dengan dorongan yang tenang dan bersahaja,” katanya.
Anwar berkata beliau pertama kali mengenali Yaqub melalui penglibatan lamanya dengan Institut Pemikiran Islam Antarabangsa (IIIT) di Amerika Syarikat.
“Sepanjang tempoh itu, apa yang paling menonjol ialah disiplin beliau yang sentiasa tenang serta nalurinya untuk menumpukan perhatian kepada perkara yang benar-benar penting, memperkukuh institusi, membantu para cendekiawan, dan membimbing komuniti memikirkan masa depan mereka.
"Beliau tidak pernah mencari pengiktirafan namun ramai yang bergantung kepadanya untuk mendapatkan panduan kerana kemurahan hatinya yang tiada batas,” kata beliau.
Menurut Adams Centre, sebuah pertubuhan komuniti Islam bukan berasaskan keuntungan di Washington DC, Yaqub meninggal dunia pada 3 Dis (waktu tempatan).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial