KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul Kementerian Kewangan untuk memindahkan sebanyak RM14.631 bilion baki wang terimaan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) bagi tempoh Ogos hingga Disember 2025 kepada Kumpulan Wang Pembangunan (KWP).
Usul berkenaan dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying selaras dengan peruntukan subseksyen 4(b) Akta Pendanaan Kerajaan 1983 (Akta 275), yang mensyaratkan kelulusan Dewan Rakyat sebelum sebarang terimaan MGII boleh dipindahkan ke KWP.
Menurut Lim, pindahan ini bertujuan membiayai sebahagian keperluan perbelanjaan pembangunan negara, sejajar dengan fungsi KWP sebagai kumpulan wang amanah kerajaan yang ditubuhkan di bawah Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966.
Beliau menjelaskan bahawa sumber dana KWP lazimnya diperoleh melalui pindahan daripada Akaun Hasil Disatukan, Akaun Pinjaman Disatukan, terimaan balik pinjaman serta pelbagai terimaan pembangunan.
“Secara Umumnya pindahan daripada Akaun Pinjaman Disatukan Kepada KWP terdiri daripada Terimaan Terbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), MGII, Bil Perbendaharaan dan pinjaman luar negeri.
“Sekuriti pinjaman berasaskan prinsip syariah ini telah diterbitkan oleh kerajaan di bawah Akta 275, dengan antara tujuan utamanya untuk membangun dan mengembangkan pasaran kewangan Islam negara,” katanya.
Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul mengumumkan bahawa usul itu diterima selepas mendapat sokongan lebih suara daripada ahli-ahli dewan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial