AM > BERITA

Sidang Dewan Rakyat Labuh Tirai, 15 RUU Diluluskan

04/12/2025 07:03 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 melabuhkan tirainya hari ini selepas 35 hari bersidang sejak 6 Okt lepas dengan 15 Rang Undang-Undang (RUU) diluluskan termasuk RUU Perbekalan (Belanjawan) 2026.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul dalam ucapan penangguhannya berkata mesyuarat ketiga ini juga menyaksikan Usul Laporan Ketua Audit Negara 3/2025 serta dua usul dari kementerian diluluskan.

Beliau berkata selain itu, terdapat empat sesi penerangan menteri termasuk satu di Kamar Khas serta  enam sesi Penerangan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan mengenai penyata-penyata yang dibentangkan.

Johari berkata pada tahun ini, Parlimen Malaysia telah menganjurkan Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46 selain program Sekolah Parlimen, sebagai usaha berterusan memperkukuh kefahaman generasi muda terhadap peranan serta fungsi institusi itu. 

“Pada tahun depan lebih banyak program yang akan diadakan untuk merakyatkan Parlimen dan penglibatan awam oleh Parlimen Malaysia,” katanya.

Selain Belanjawan 2026, 14 lagi RUU yang diluluskan ialah RUU Pasport (Pindaan) 2025, RUU Imigresen (Pindaan) 2025, RUU Antibuli 2025, RUU Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Pindaan) 2025 dan RUU Langkah-Langkah bagi Pemungutan, Pentadbiran dan Penguatkuasaan Cukai 2025.

Turut diluluskan RUU Kewangan 2025, RUU Profesion Undang-Undang (Pindaan) (No.2) 2025, RUU Rukun Tetangga (Pindaan) 2025, RUU Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Pindaan) 2025 dan RUU Tabung Pembangunan Kemahiran (Pindaan) 2025.

Selain itu, RUU Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025, RUU Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025, RUU Agensi Persendirian (Pindaan) 2025 dan RUU Sewa Beli (Pindaan) 2025.

Persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan hingga ke satu tarikh yang belum ditetapkan. 

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan