AM > BERITA

Program Rancakkan MADANI Bermula Hari Ini

05/12/2025 08:19 AM

PUTRAJAYA, 5 Dis (Bernama) -- Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 (Rancakkan MADANI) membuka tirai hari ini, di Dataran Putrajaya dengan pelbagai pengisian untuk manfaat rakyat.

Program tiga hari sehingga Ahad dirancang dengan penuh rapi dari aspek pengisian ilmiah, logistik, keselamatan tapak dan keselesaan bagi menarik pengunjung pelbagai lapisan masyarakat.

Antara pengisian hari pertama ialah perkongsian Kurikulum Persekolahan 2027 oleh Kementerian Pendidikan dan pelbagai program kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) iaitu Battle Tarannum Qari Malaysia:“Alunan Harmoni Al-Quran”, Pertandingan Peragaan Busana Kanak-kanak, Hijrah Artis dan Malaysiaku Berselawat pada 9 malam. 

Keseluruhan pengisian menonjolkan usaha memperkukuh perpaduan, pendidikan, seni dan syiar Islam serta kejayaan pentadbiran Kerajaan MADANI selama tiga tahun.

Program Rancakkan MADANI dijangka menarik lebih 300,000 pengunjung dan menjadi program komunikasi rakyat terbesar anjuran Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam dan Perbadanan Produktiviti Malaysia.

Selain pengisian dasar, pengunjung berpeluang menikmati program Jualan MADANI yang menawarkan potongan harga bagi barangan keperluan sekolah, menukar topi keledar secara percuma dan menghadiri karnival kerjaya.

Terdapat lapan zon utama (A hingga H) yang menempatkan aktiviti sampingan termasuk peluang memiliki lesen memandu motosikal kelas B2 dan diskaun saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Zon G.

Tarikan lain termasuk pameran kucing “Meow Fiesta”, demonstrasi pengurusan bencana oleh Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta demonstrasi keselamatan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Orang ramai dinasihatkan merujuk Facebook Perbadanan Putrajaya dan aplikasi Waze untuk notis penutupan jalan serta menggunakan pengangkutan awam seperti tren transit aliran massa (MRT) dan bas ulang-alik bagi memudahkan perjalanan. 

Program Rancakkan MADANI berlangsung dari 9 pagi hingga 10 malam pada Jumaat dan Sabtu manakala 9 pagi hingga 6 petang pada Ahad.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan