AM > BERITA

Fadillah, Menteri Kabinet, Menteri Besar Ucap Takziah Atas Pemergian Bung Moktar

05/12/2025 11:58 AM

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof serta barisan menteri Kabinet dan menteri besar hari ini mengucapkan takziah kepada keluarga Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin yang meninggal dunia awal pagi tadi.

Menerusi hantaran di Facebook, Fadillah meluahkan rasa dukacita atas pemergian Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu dan mendoakan Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman serta mendapat keredhaan Allah SWT.

"Ya Allah Ya Tuhanku ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia, muliakanlah pemergiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya," katanya.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu pula berkata khidmat bakti Allahyarham selama puluhan tahun dalam politik tanah air merupakan satu sumbangan yang akan terus dikenang.

"Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham. Semoga mereka dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan ini," kata Presiden Amanah itu.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Timbalan Presiden UMNO turut berduka cita atas pemergian Bung Moktar.

"Moga roh arwah ditempatkan bersama para ‘siddiqin’ dan orang yang beramal soleh jua hendaknya," katanya dalam hantaran di Facebook.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula berkata Allahyarham adalah rakan politik yang telah lama dikenali dan tokoh yang sentiasa bersemangat, berterus terang serta lantang bersuara demi kepentingan rakyat.

"Semangat juang beliau, keberanian menyatakan pendirian serta keikhlasan dalam berkhidmat kepada negara akan terus terpahat dalam ingatan kami,” katanya.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil pula berkata meski apa pun perbezaan yang pernah wujud, pemergian Allahyarham mengingatkan tentang pengorbanan seorang insan yang tanpa lelah mencurahkan tenaga dan hayatnya untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Saya sentiasa menghormati Allahyarham sebagai seorang veteran politik yang tegas, lantang dan berani dalam perjuangan. 

"Kelantangan beliau juga sentiasa menceriakan suasana di Parlimen, meninggalkan kenangan dan inspirasi buat semua," kata Fahmi dan mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan para solihin. 

Sementara itu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata Allahyarham akan dikenang sebagai seorang pemimpin dan sahabat yang mesra dan sentiasa memperjuangkan rakyat Sabah. 

"Pastinya pemergian beliau satu kehilangan besar buat semua yang pernah bekerjasama dan mengenali beliau. Semoga keluarga diberi kekuatan dalam melalui saat sukar ini," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa pula berkata negara kehilangan seorang tokoh politik yang berpengalaman.

"Saya rakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul," kata Dr Zaliha.

Turut mengucapkan takziah ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, yang menyifatkan Allahyarham sebagai individu yang telah memastikan UMNO terus bertapak di Sabah ketika parti itu ditinggalkan rakan-rakan lain suatu ketika dahulu.

“Beliaulah (Bung Moktar) yang meletakkan sepenuh kepercayaan kepada saya bagi dalam pemilihan sebagai Naib Presiden parti (UMNO) yang lepas ketika saya menawarkan diri untuk bertanding.  

“Hubungan persahabatan kami terus terjalin erat dan rapat sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.  Tiada kesakitan yang terzahir daripada beliau selain sebuah perjuangan. Tiada kata untuk menggambarkan apa yang saya rasakan ketika ini,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli menerusi hantaran di Facebook turut  mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham.

"Semoga Allah SWT mengurniakan ketabahan kepada mereka dan memberikan ganjaran serta keampunan ke atas Allahyarham," kata Mohd Shukri menerusi hantaran di Facebook.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan turut mengucapkan takziah kepada keluarga Bung Moktar, dan menyifatkan Allahyarham sebagai suara lantang rakyat Sabah serta seorang pemimpin yang tidak pernah gentar mempertahankan hak negeri itu.

“Sama ada di lapangan politik, di Parlimen ataupun di luar, ramai yang kenal sungguh keperibadian beliau penuh jenaka (humor), mesra, dan sentiasa terbuka dengan sesiapa sahaja.

“Tetapi di sebalik senyum dan gurauannya, tersimpan hati yang ikhlas dalam memperjuangkan hak rakyat, khususnya di Sabah yang amat beliau cintai,” katanya dan menambah Allahyarham seorang yang tidak pernah berpura-pura serta pejuang politik yang cukup konsisten dan komited.

Bung Moktar, 66, yang berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Lamag pada PRN Sabah ke-17 baru-baru ini, meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu pada 1.46 pagi ini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata beliau dan keluarga turut bersedih dengan pemergian Bung Moktar yang disifatkannya sebagai sahabat lama.

"Saya bagi pihak kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham (Bung Moktar), beliau seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada negeri terutama sekali di kawasan beliau," katanya kepada pemberita di kediaman Allahyarham di Kota Kinabalu hari ini.

Turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham ialah Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Menerusi hantaran di Facebook, semua pemimpin berkenaan turut mendoakan agar keluarga Bung Moktar diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian itu.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh ketika berucap pada pembentangan Bajet Melaka 2026 di Dewan Undangan Negeri hari ini turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Bung Moktar. 

"Mewakili kerajaan negeri, saya merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Semoga beliau ditempatkan dalam kalangan para solihin," katanya. 

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Bung Moktar adalah rakan politik yang berani bersuara, setia dalam persahabatan dan sentiasa membawa suara Sabah ke gelanggang nasional tanpa gentar.

“Banyak kenangan perjuangan bersama yang saya simpan sebagai kekuatan dan peringatan tentang makna setia kawan dalam perjuangan politik.

“Pemergian Allahyarham tentunya akan dirasai oleh kawan dan lawan dalam arena politik, kehilangan yang amat besar buat negara terutamanya keluarga besar UMNO dan masyarakat Sabah,” katanya menerusi hantaran di Facebbok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar pula berkata Allahyarham merupakan seorang tokoh yang dihormati, berjiwa rakyat, dan sentiasa komited dalam khidmat bakti kepada negeri Sabah dan negara.

“Pemergiannya merupakan satu kehilangan besar kepada kita semua,” katanya juga menerusi hantaran di Facebook.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan