AM > BERITA

Jabatan Perikanan Perak Tawar Beli Ikan Temoleh Saiz Besar Untuk Induk Pembiakan

05/12/2025 11:03 AM

GERIK, 4 Dis (Bernama) -- Jabatan Perikanan Negeri Perak menawarkan untuk membeli mana-mana ikan temoleh bersaiz lebih 10 kilogram (kg) seekor yang berjaya didaratkan atau dimiliki nelayan Sungai Perak bagi dijadikan induk pembiakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Zolkafly Harun berkata inisiatif itu adalah antara langkah yang dilihat berpotensi bagi meningkatkan populasi spesies berkenaan.

“Langkah ini digerakkan hasil perbincangan dengan Pengarah Jabatan Perikanan negeri susulan bilangan ikan ini yang semakjn berkurangan di Sungai Perak.

“Menjadi satu tanggungjawab yang besar untuk kami pikul dan antara usaha yang dibuat adalah untuk membeli ikan temoleh ini daripada nelayan mengikut harga pasaran,” katanya ketika ditemui Bernama pada Program Pemuliharaan Ekosistem Tasik Temenggor, Taman Negeri Royal Belum di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Perikanan Perak Mohd Ghazali Abdul Manap dan Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak Azleena Zainal Abidin.

Sebelum ini, Bernama melaporkan data yang direkodkan oleh Jabatan Perikanan Negeri Perak mendapati jumlah pendaratan ikan itu terus merosot dalam tempoh lima tahun dengan hanya 116.40kg dicatatkan setakat Ogos tahun ini, berbanding lebih 3,000kg sepanjang 2023.

Zolkafly berkata antara punca utama penyusutan populasi spesies ikonik Sungai Perak itu adalah tangkapan berlebihan selain faktor musim ikan mudik yang membuatkan temoleh dewasa lebih mudah tertangkap di kawasan cetek.

“Kebiasaannya ikan ini akan mudik ke hulu sungai pada awal Februari setiap tahun untuk bertelur di kawasan yang lebih cetek. Di situ memudahkan nelayan menangkap menggunakan pelbagai cara sama ada menjala atau memukat,” katanya.

Selain itu, Zolkafly berkata kerajaan negeri turut merancang untuk menubuhkan pusat pembenihan temoleh secara komersial, namun pelaksanaannya bergantung kepada jumlah induk berkualiti yang akan diperoleh daripada nelayan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata lebih 0.5 juta benih ikan pelbagai spesies bernilai tinggi telah dilepaskan di perairan hulu Sungai Perak termasuk Tasik Temenggor.

Menurut Zolkafly, ia menjadi antara lokasi utama pelepasan ikan di Perak kerana habitat semula jadinya yang luas, berkualiti tinggi serta mempunyai sumber makanan mencukupi bagi memastikan kadar kelangsungan hidup benih lebih tinggi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan