KUANTAN, 5 Dis (Bernama) -- Kerajaan Pahang telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkasakan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) antaranya menerusi Akademi Rel Pahang, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Wan Rosdy berkata inisiatif itu juga antara lain sebagai persediaan untuk memenuhi peluang pekerjaan bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan beroperasi pada 2027.
“Kita sedar ECRL memerlukan ribuan tenaga kerja apabila siap nanti, jadi kita telah tubuhkan Akademi Rel Pahang berkenaan.
“Dari segi pendidikan kita ada antaranya Pahang Skills Development Center, Kolej Yayasan Pahang, maknanya usaha ke arah itu telah dibuat,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mustapa Long (BN-Padang Tengku) yang ingin tahu usaha kerajaan negeri dalam menghasilkan tenaga kerja yang berkualiti dan berdaya saing dalam bidang TVET.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata pihaknya optimis pelaksanaan program menerusi inisiatif berkenaan akan mula menampakkan hasilnya kelak.
“Jadi bagilah ruang kepada kerajaan negeri supaya kita dapat teruskan TVET ini dan dalam masa sama juga cuba ubah sikap lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) supaya mereka tidak menganggap memasuki bidang ini sebagai laluan kedua.
“Saya telah lihat yang mana (individu) ada kemahiran ini mempunyai gaji sehingga RM15,000…kita dapati mereka yang ada kemahiran ini peluang untuk mereka sangat tinggi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial