ISTANBUL, 5 Dis (Bernama-Anadolu) -- Presiden China Xi Jinping telah menjanjikan sumbangan bantuan berjumlah US$100 juta kepada Palestin bagi membantu menangani krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Xi membuat pengumuman itu ketika mengadakan perbincangan dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron, yang menamatkan lawatan negara tiga hari beliau ke China pada Jumaat.
“China akan menyediakan US$100 juta bantuan kepada Palestin bagi meredakan krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza serta menyokong pemulihan dan pembinaannya semula,” kata Xi pada mesyuarat di Beijing pada Khamis, menurut kenyataan Kementerian Luar China.
Xi berkata dunia hari ini “jauh daripada aman” dengan pertikaian dan konflik politik antarabangsa yang rumit terus berlaku di pelbagai rantau.
“China dan Perancis akan bekerjasama bagi merealisasikan penyelesaian menyeluruh, adil dan berkekalan terhadap isu Palestin secepat mungkin,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar China Lin Jian berkata pada Jumaat bahawa bantuan tersebut akan digunakan untuk kerja pembinaan semula pascakonflik bagi memperbaiki keadaan kemanusiaan di Semenanjung Gaza dan mengurangkan penderitaan rakyat Palestin.
“China teguh menyokong perjuangan rakyat Palestin dalam memulihkan hak negara mereka yang sah dan akan terus bekerjasama dengan komuniti antarabangsa bagi mencapai gencatan senjata penuh dan berkekalan di Semenanjung Gaza, meredakan situasi kemanusiaan, serta memastikan penyelesaian politik awal berdasarkan penyelesaian dua negara,” kata Lin pada sidang akhbar di Beijing.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial