PUTRAJAYA, 5 Dis (Bernama) -- Pengiktirafan dua anugerah Honorable Mention kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada PR Daily Awards 2025 mencerminkan kemampuan agensi itu mengendalikan maklumat secara berkesan serta mengekalkan ketelusan ketika berdepan tekanan masyarakat dan cabaran persepsi.
Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM Hisyam Mohd Yusoff berkata kejayaan itu menunjukkan pencapaian SPRM pada tahap hampir setara dengan pemenang utama seperti Yahoo dan Massachusetts Bay Transportation Authority, sekali gus membuktikan mutu kerja komunikasi strategik agensi telah mencapai penanda aras antarabangsa.
“Dengan pengiktirafan ini, SPRM komited untuk terus memperkasakan hubungan dengan masyarakat melalui strategi komunikasi yang lebih efektif serta menyokong usaha pencegahan rasuah negara secara lebih menyeluruh dan berdaya saing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
SPRM meraih dua pengiktirafan Honorable Mention dalam kategori Use of AI (penggunaan kecerdasan buatan) dan Crisis Management (pengurusan krisis) pada PR Daily Awards 2025 anjuran Ragan Communications yang berpangkalan di Chicago, Amerika Syarikat.
Majlis penganugerahan diadakan pada 2 Dis di City Winery, New York bagi mengiktiraf organisasi yang menonjol dalam bidang perhubungan awam, pemasaran dan media sosial.
Bagi kategori Use of AI, SPRM diiktiraf atas usaha memanfaatkan AI dalam meningkatkan keberkesanan komunikasi bagi memastikan penyampaian maklumat lebih cekap, tepat dan responsif.
Kategori Crisis Management pula menilai keupayaan pasukan komunikasi mengurus situasi sensitif secara pantas dan berkesan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial