AM > BERITA

Rancakkan MADANI: Pengunjung Berpeluang Dalami Ilmu Di Hutan, Rasai Ayam Pansuh Di Reruai ‘Survival Village’ ATM

06/12/2025 12:08 PM

Oleh Mohd Ashraf Syafiq Mazlan

PUTRAJAYA, 6 Dis (Bernama) -- Pameran ‘Survival Village’ Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapat sambutan menggalakkan apabila mencatat kehadiran lebih 2,000 pengunjung pada hari pertama Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 (Program Rancakkan MADANI) di Dataran Putrajaya.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) melalui ATM menampilkan beberapa pameran utama termasuk Survival Village, hospital medan, pertunjukan anjing perang serta pelbagai aset pertahanan negara.

Tinjauan Bernama mendapati ‘Survival Village’terus menarik tumpuan apabila pengunjung berpeluang mempelajari teknik ikhtiar hidup di hutan yang dipersembahkan 12 pegawai dan anggota daripada Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja (6 RRD).

Ketua Kompeni 6 RRD Kapten Mohd Hafizuddin Sulaiman berkata pameran pondok dan model jerat antara yang mendapat perhatian utama pengunjung.  

“Kita ada pameran haiwan yang boleh ditemui di hutan, selain model sebenar jerat dan perangkap. Kita juga ada model-model sebenar jerat dan juga perangkap.

“Kita ada juga mengadakan pertunjukan dan demonstrasi menghidupkan api menggunakan batu dan besi, di mana pengunjung sendiri boleh mencuba untuk melihat sama ada mereka berjaya menghidupkan api atau tidak,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata ATM turut membawa pengunjung merasai pengalaman menyumpit menggunakan alatan sumpit tradisional selain menikmati keenakan ayam pansuh yang dimasak khas di reruai berkenaan.

Ayam pansuh ialah hidangan tradisional masyarakat Iban dan Bidayuh di Sarawak yang dimasak menggunakan buluh.

Program Rancakkan MADANI selama tiga hari bermula hari ini, menampilkan lebih 300 perkhidmatan sentuhan rakyat, karnival kerjaya, pameran interaktif, hiburan keluarga dan pelbagai tawaran istimewa kepada orang ramai.

Program berskala nasional anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) itu menyasarkan kehadiran 300,000 pengunjung dan berlangsung dari 9 pagi hingga 10 malam pada Jumaat dan Sabtu, manakala 9 pagi hingga 6 petang pada Ahad.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan pada jam 11 pagi , Ahad ini.

Program Rancakkan MADANI ialah kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI dan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI yang menjadi tradisi pelaporan tahunan kerajaan secara langsung kepada rakyat.

Serentak dengan program itu, turut berlangsung Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 yang menghimpunkan pemikir dasar dalam kalangan penjawat awam serta pemain industri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan