ISKANDAR PUTERI, 6 Dis (Bernama) -- Pengiktirafan rasmi Pusat Berbasikal Dunia (WCC) Satelit Pembangunan Wilayah (RDS) di sini sebagai Pusat Satelit Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang pertama di Asia Tenggara merupakan pencapaian penting bagi pembangunan sukan berbasikal di rantau ini.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata pusat satelit UCI itu juga merupakan yang keempat di Asia selepas Korea Selatan, China dan Jepun.
“Hanya terdapat 11 pusat satelit seperti ini di seluruh dunia dan Malaysia kini turut tersenarai. Ini adalah pencapaian yang sangat baik dan detik membanggakan bagi Johor kerana mempunyai pusat berkenaan untuk rantau ini,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran WCC RDS di Velodrom Johor di sini hari ini.
Beliau berkata penubuhan pusat satelit di velodrom itu akan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam arena sukan berbasikal serantau.
“Dengan pengiktirafan pusat ini, saya berharap ia membuka lebih banyak peluang untuk sokongan geran, bukan sahaja daripada UCI tetapi juga daripada Kerajaan Malaysia dan Johor,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh Gill berkata WCC ditubuhkan untuk membangunkan atlet muda, termasuk dalam acara BMX dan berbasikal trek.
Beliau berkata WCC RDS di sini dijangka berfungsi sebagai hab untuk membimbing atlet muda di seluruh Asia Tenggara sambil meningkatkan penglibatan Malaysia dalam komuniti berbasikal antarabangsa.
“Kami akan bekerjasama dengan jurulatih WCC di Switzerland dan pakar-pakar lain untuk membimbing seberapa ramai atlet yang mungkin.
“Pusat satelit ini dirancang untuk menyokong bukan sahaja Malaysia, tetapi juga negara-negara ASEAN seperti Singapura, Indonesia, Thailand, dan Brunei. Ini membolehkan latihan bersama, perkongsian ilmu dan pembangunan bakat berbasikal serantau,” katanya.
Sementara itu, Presiden UCI David Lappartient berkata kesatuan itu berharap untuk terus mengembangkan sukan berbasikal di seluruh dunia.
“Kami mempunyai 206 persekutuan kebangsaan yang bernaung di bawah UCI yang menunjukkan berbasikal sememangnya sukan global. Kita mesti mengekalkan ciri universal dalam sukan ini dan di semua disiplin, inilah sebabnya kami ingin membina rangkaian pusat satelit yang besar,” katanya.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial