AM > BERITA

Kehadiran Harimau Di Bukit Bangkong, Polis Nasihat Jangan Hampiri Kawasan Hutan

06/12/2025 03:39 PM

IPOH, 6 Dis (Bernama) -- Polis mengesahkan menerima laporan serangan haiwan liar dipercayai harimau yang mengakibatkan dua lembu ternakan mati dan lima lagi hilang di Bukit Bangkong, Tanah Hitam, di Chemor, semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata insiden itu dimaklumkan sekitar 6.30 petang oleh seorang lelaki yang menemui dua lembu miliknya mati dengan kesan gigitan manakala beberapa ternakan lain tidak dapat dikesan.

"Susulan laporan tersebut, anggota Balai Polis Tanah Hitam bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan pemantauan serta penilaian awal.

"Perhilitan turut memasang kamera perangkap sebagai langkah mengesan dan mengesahkan kehadiran harimau di kawasan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisam memaklumkan pemantauan akan diteruskan dan maklumat disalurkan kepada agensi berkaitan demi memastikan kawalan risiko, keselamatan penduduk serta usaha pemuliharaan hidupan liar dapat dilaksanakan secara berkesan.

"Orang awam yang mempunyai maklumat diminta segera menghubungi Balai Polis Tanah Hitam atau Perhilitan bagi membantu siasatan.

"Polis menasihatkan penduduk supaya berwaspada, tidak menghampiri kawasan hutan dan mengelakkan sebarang bentuk provokasi terhadap haiwan liar demi keselamatan komuniti," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Perak Yusoff Shariff ketika dihubungi berkata pemasangan kamera telah dibuat di kawasan berkenaan bagi memantau pergerakan harimau yang dipercayai menyerang ternakan lembu. 

Beliau berkata pihaknya telah menghantar anggota ke lokasi berkenaan sejak malam tadi untuk memasang kamera, sebelum melakukan pemeriksaan susulan pagi tadi namun setakat ini tiada tanda haiwan liar itu kembali ke kawasan tersebut.

“Harimau tersebut tidak datang semula untuk makan atau tanda-tanda ia kembali namun buat masa ini, kita menasihatkan penternak agar tidak melepaskan lembu secara bebas dan memastikan semua ternakan ditempatkan dalam kandang pada waktu malam bagi mengurangkan risiko serangan.

“Kita juga mencadangkan langkah tambahan seperti memasang lampu dan unggun api di kawasan kandang serta menggunakan bunyi-bunyian seperti rakaman bacaan al-Quran atau radio sepanjang malam sebagai usaha menghalang kehadiran harimau,” katanya. 

Yusoff menegaskan Perhilitan akan terus memantau kawasan tersebut dan mengambil tindakan lanjut sekiranya harimau dikesan kembali memasuki kawasan penempatan atau ternakan.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan