AM > BERITA

ST Lancar Inisiatif ST-ECE Sokong Keperluan 62,000 Orang Kompeten Menjelang 2050

06/12/2025 02:45 PM

PUTRAJAYA, 6 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Tenaga (ST) hari ini melancarkan inisiatif baharu, Suruhanjaya Tenaga Energy Competency Excellence (ST-ECE) sebagai platform pembelajaran berterusan bagi memperkasa kemahiran tenaga kerja dalam industri elektrik dan gas berpaip selaras tuntutan teknologi serta agenda peralihan tenaga negara.

Dilancarkan bersempena Minggu Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku, inisiatif itu menyasarkan peningkatan kapasiti tenaga mahir negara bagi memenuhi keperluan 62,000 orang kompeten menjelang 2050, seiring matlamat mengoperasikan hingga 70 peratus atau 56 gigaWatt (GW) Tenaga Boleh Baharu (TBB) dalam sektor tenaga.

Dalam satu kenyataan hari ini ST memaklumkan majlis perasmian disempurnakan Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi ST Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Majlis turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif ST Siti Safinah Salleh, pengurusan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), institusi bertauliah, tenaga pengajar, pelajar, orang kompeten serta rakan industri.

Shamsul Azri berkata peningkatan dramatik teknologi peralihan tenaga menuntut keupayaan tenaga kerja mahir yang lebih besar, dan ST-ECE diwujudkan untuk memastikan pembangunan kompetensi berlaku secara tersusun, inklusif dan konsisten.

Inisiatif ST-ECE menampilkan tiga modul utama iaitu Modul Intensif Pra-Kompetensi untuk calon yang bakal menduduki peperiksaan bertulis; Modul Pemantapan Kompetensi merangkumi aspek perundangan, piawaian dan teknikal; serta Modul Kompetensi Teknologi Baharu bagi memastikan tenaga mahir bersedia menghadapi perubahan pesat dalam teknologi tenaga negara. 

Shamsul Azri turut merakamkan penghargaan kepada institusi pendidikan dan tenaga pengajar yang memainkan peranan penting dalam membentuk nilai serta kemahiran pelajar sekali gus membuka prospek kerjaya lebih luas dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Beliau  juga menggalakkan industri meneroka peluang kolaborasi dengan institusi pendidikan dan badan kawal selia bagi menjamin peluang kerjaya kepada tenaga kompeten mahir.

ST menegaskan bahawa ST-ECE merupakan langkah strategik untuk menyokong transformasi tenaga Malaysia, termasuk mencapai aspirasi pelepasan sifar bersih menjelang 2050 melalui latihan berimpak tinggi, kerjasama industri dan penambahbaikan berterusan ekosistem tenaga.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan