AM > BERITA

TMS2025: Selangor Yakin Capai Sasaran 8 Juta Pelancong - Exco

06/12/2025 03:29 PM

Daripada Marfika Adnan Haris Fadzilah

GEORGE TOWN, 6 Dis (Bernama) -- Selangor yakin sasaran lapan juta pelancong sempena Tahun Melawat Selangor 2025 mampu dicapai bulan ini, berdasarkan prestasi Januari hingga September yang merekodkan 6.4 juta ketibaan pelawat.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor Datuk Ng Sue Lim berkata bagi mencapai sasaran itu Tourism Selangor akan memperhebat promosi produk ekopelancongan, pelancongan pelayaran dan pelancongan perubatan dalam tempoh berbaki kurang sebulan sebelum 2025 menutup tirai.

“Setakat ini (hingga suku ketiga) kita telah capai 80 peratus (daripada sasaran lapan juta) pelawat tempatan dan antarabangsa yang direkodkan datang ke Selangor dengan resit pelancongan mencecah RM11.4 bilion.

“Kita yakin mampu capai sasaran ditetapkan, malah lebih daripada itu mengambil kira jumlah pelancong harian ke Selangor paling ramai berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM),” katanya kepada Bernama selepas program Selangor Kan Ada! Cruise Trip 2025, di sini semalam.

Diadakan di atas kapal persiaran mewah Piano Land, program itu turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling dan Pengarah Urusan Hwajing Travel & Tours, Kenny Cheong Ken Lee.

Ng berkata inisiatif pelancongan pelayaran yang dilancarkan sejak November lepas dijangka menjadi antara pemangkin utama kepada peningkatan jumlah pelawat ke Selangor.

“Setakat ini, sambutan terhadap pelancongan pelayaran adalah baik dan masih dalam fasa untuk diperkasakan. Potensi industri ini sangat besar, melibatkan pelancong domestik dan antarabangsa, namun ia bergantung kepada jajaran pelayaran sama ada ke Pulau Pinang, Phuket, Hong Kong atau Macau,” katanya.

Beliau berkata inisiatif itu juga bertujuan menjadikan Pelabuhan Klang bukan sahaja sebagai pelabuhan persinggahan tetapi juga pelabuhan utama, sekali gus memberi impak ekonomi tinggi kepada sektor hotel, makanan serta destinasi pelancongan di Selangor.

Selain itu, Ng berkata seiring Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), pihaknya akan memberi penekanan kepada pelancongan seni dan budaya bagi menarik lebih ramai pelancong ke Selangor.

“Setakat ini perkampungan budaya yang ada hanya Mah Meri (di Pulau Indah) dan itu belum cukup. Kita perlu ada satu perkampungan dan pertunjukan budaya merangkumi semua.

“Jadi, kita akan bekerjasama dengan EXCO Perumahan dan Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah serta Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT) untuk menonjolkan keunikan budaya Selangor kepada pelawat. Saya yakin ia akan disukai pelancong domestik dan antarabangsa,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan