AM > BERITA

Warga Emas Buta Tinggal Bersama Jasad Anak Ditempatkan Di Rumah Seri Kenangan

06/12/2025 04:03 PM

KUCHING, 6 Dis (Bernama) -- Seorang wanita warga emas cacat penglihatan yang ditemui tinggal bersama mayat anak perempuannya selama beberapa hari akan ditempatkan di Rumah Seri Kenangan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata wanita berusia 69 tahun itu juga akan menjalani pemeriksaan fizikal dan mental bagi mengetahui tahap kesihatannya.

“Tindakan telah diambil oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), lebih elok ditempatkan di rumah tersebut sebab kini dia keseorangan selepas kematian anak yang menjaganya,” katanya ketika ditemui pada Festival Gastronomi Nyamai Sarawak 2025 di Kampung Budaya Sarawak di sini, hari ini. 

Semalam media melaporkan seorang wanita warga emas cacat penglihatan terpaksa merangkak sejauh kira-kira 150 meter untuk mendapatkan bantuan selepas beberapa hari tinggal bersama mayat anak perempuannya di sebuah pondok di Jalan Kampung Telok Sabang, Kota Samarahan. 

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Supt Damataries Lautin dilaporkan berkata warga emas berkenaan menyedari anaknya yang berusia 48 tahun telah meninggal dunia pada 30 Nov, selepas mengadu sakit dada dan sesak nafas

Walau bagaimanapun, warga emas itu tidak mampu berbuat apa-apa sehinggalah bau mayat anaknya yang semakin kuat terhidu memaksanya keluar merangkak mencari pertolongan.

Sementara itu, Nancy menyeru kepada semua ketua masyarakat agar mengambil peduli perihal masyarakat terutamanya di kawasan kampung bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.

“(Peranan ketua masyarakat) ini membolehkan penduduk kampung mendapatkan maklumat tepat mengenai pelbagai bentuk bantuan yang disediakan oleh kerajaan dan melalui saluran yang betul khususnya JKM,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan