GUA MUSANG, 6 Dis (Bernama) -- Sebanyak 25 tan bantuan bekalan makanan diagihkan kepada 1,000 ketua isi rumah (KIR) masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis di sini sebagai persediaan musim tengkujuh tahun ini.
Penghulu Kampung Merlong Ibrahim Marijah berkata bantuan berupa makanan seperti beras, gula dan tepung gandum itu amat penting kerana boleh disimpan lama sekiranya mereka berdepan masalah jalan rosak ketika hujan lebat.
Beliau berkata punca pendapatan rata-rata penduduk di sini yang majoritinya bekerja sendiri terjejas berikutan cuaca tidak menentu.
"Kami terpaksa mengehadkan masa bekerja dan pulang lebih awal dari biasa kerana cuaca hujan yang tidak menentu. Keadaan ini telah menjejaskan periuk nasi keluarga kami yang mempunyai bilangan anak yang ramai.
"Oleh itu, kami amat berbesar hati atas keprihatinan agensi kerajaan, wakil rakyat dan badan bukan kerajaan (NGO) yang sudi menyumbangkan makanan asas kepada kami," katanya selepas Program Sumbangan Bakul Makanan daripada sebuah syarikat kontraktor di sini hari ini.
Romani Damak, 44, dari Kampung Podek pula berkata kebanyakan penduduk kini banyak menghabiskan masa di rumah kerana tidak dapat keluar bekerja dan terpaksa berjimat ekoran pendapatan yang semakin berkurangan.
"Kebiasaannya penduduk tidak dapat keluar bekerja pada musim tengkujuh dan bergantung kepada tanaman sara diri seperti ubi kayu dan sayur-sayuran di kebun," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Datuk Mohd Syahbuddin Hashim berkata sumbangan daripada syarikat kontraktor tersebut menelan kos RM100,000 untuk penduduk di kawasan berkenaan.
"Kita mengalu-alukan bantuan daripada pelbagai pihak untuk membantu masyarakat Orang Asli yang ketika ini terjejas pendapatan akibat cuaca hujan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial