AM > BERITA

Lulusan PUSPAHANAS Bukan Sekadar Tentera Tetapi Ahli Strategi, Penjaga Keamanan – Mohamed Khaled

06/12/2025 05:16 PM

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Lulusan Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) bukan sekadar anggota tentera, malah turut berperanan sebagai pemikir, ahli strategi serta bakal penjaga keamanan serta keselamatan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. 

Berucap pada Majlis Konvokesyen PUSPAHANAS 2025 hari ini, Mohamed Khaled berkata kesemua 270 graduan yang terdiri daripada pegawai tentera dari Malaysia dan luar negara telah melakar pencapaian yang melangkaui kejayaan peribadi semata-mata.

“Saya yakin institusi ini telah melengkapkan anda dengan ilmu, pendedahan dan peralatan yang diperlukan untuk mengemudi cabaran pertahanan yang kompleks.

“Bukan sahaja di Malaysia, malah di rantau ini dan di seluruh dunia,” katanya pada majlis yang berlangsung di Putrajaya. Teks ucapan beliau disediakan kepada Bernama oleh Kementerian Pertahanan.

Beliau berkata berakhirnya pengajian di PUSPAHANAS bukan bermakna titik penamat, sebaliknya permulaan kepada usaha menuntut ilmu sepanjang hayat bagi memastikan kekal relevan dan berkesan dalam landskap keselamatan yang berubah dengan pantas.

“Teknologi berkembang lebih pantas berbanding jangkaan kita. Pada masa sama, ancaman bukan tradisional kian kompleks. Persaingan kuasa yang berubah-ubah pula sedang membentuk landskap geopolitik dengan pantas,” katanya.

Mohamed Khaled berkata graduan tidak dilatih sekadar menjadi anggota tentera atau pemegang senjata, sebaliknya sebagai pemimpin yang suatu hari kelak bakal menentukan misi, melindungi nyawa dan memelihara keselamatan negara.

“Kepimpinan ialah tulang belakang profesion ketenteraan. Ia menuntut hala tuju yang jelas, kesepaduan usaha dan keberanian bertindak tegas. 

“Dalam persekitaran yang kelam-kabut, sama ada dalam pertempuran, misi kemanusiaan atau bantuan bencana, pemimpin yang berwibawa menentukan hasilnya,” katanya sambil menggesa graduan mempertajam, menghayati dan menggunakan kepimpinan sebaik-baiknya demi manfaat sejagat.

Beliau turut menyeru para lulusan tidak melupakan matlamat profesion mereka dan tugas untuk  mengekalkan, memperkukuh dan mewujudkan semula keamanan.

“Ya, anda dilatih menggunakan senjata, taktik dan suasana medan tempur. Namun, misi yang lebih utama jauh melangkaui mekanisme peperangan.

“Anda bukan dibentuk untuk mencari peperangan, sebaliknya sebagai perantara kestabilan dan pendamai. Memikul tanggungjawab sebagai diplomat dialog dan persefahaman yang mampu menghalang pencerobohan serta menyemai kerjasama," katanya.

Mohamed Khaled berkata matlamat utama pertahanan bukan untuk mencari konflik dengan mana-mana pihak, sebaliknya untuk memelihara keamanan dan kestabilan serta mencegah huru-hara dan penderitaan umat manusia.

Beliau berkata PUSPAHANAS menyediakan persekitaran ideal untuk menyemai dan memupuk bakat dalam bidang pertahanan dan memuji peranan penting yang dimainkan oleh Professional Military Education (PME).

“Kekuatan terbesarnya terletak pada keupayaan menghimpunkan minda cemerlang daripada pelbagai negara, budaya dan cabang perkhidmatan dalam satu ruang yang sama. Institusi ini bukan sahaja mempertajam pemikiran strategik, malah memupuk persefahaman, kepercayaan dan kerjasama,” katanya.

Mohamed Khaled berkata persahabatan dan jaringan yang terjalin di PUSPAHANAS merupakan aset strategik yang berupaya mencegah konflik, membolehkan usaha kerjasama pada masa hadapan serta membina semula kepercayaan ketika berlakunya ketidakpastian.

Sementara itu, menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, majlis graduasi itu melibatkan 270 penuntut dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan, iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), serta pegawai angkatan tentera negara asing.

Sesi pertama menyaksikan penganugerahan sijil kursus dan lencana Maktab Ketahanan Nasional (MKN) kepada 17 pegawai kanan berpangkat Brigedier Jeneral dan Kolonel setaraf ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM serta tujuh pegawai kanan negara asing.

Sesi kedua pula melibatkan penganugerahan Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) serta sijil dan lencana Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) kepada 70 pegawai kanan berpangkat Leftenan Kolonel  ATM, PDRM, APMM, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan pegawai tentera asing.

Sesi ketiga, menyaksikan 176 penuntut Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) menerima diploma, sijil kursus dan lencana masing-masing.

Turut hadir ialah Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Dr. Zulhelmy Ithnain, Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris dan Presiden PUSPAHANAS Laksamana Madya Datuk Sabri Zali.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan