KUALA KANGSAR, 6 Dis (Bernama) -- Kehilangan kaki kiri akibat penyakit diabetes enam bulan lepas tidak mematahkan semangat graduan Ijazah Sarjana Usuluddin Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Muhamad Sabri Di, 62, untuk menghabiskan pengajian.
Pesara guru itu berkata kehilangan anggota bukan noktah sebaliknya dianggap sebagai “hadiah” daripada Allah dalam perjuangannya menuntut ilmu.
“Selepas bersara sebagai guru, saya menerima satu ‘hadiah’ daripada Allah iaitu disahkan menghidap diabetes enam bulan lepas, ketika saya masih mengikuti pengajian master di USAS. Namun saya tidak berhenti...teruskan juga pengajian seperti biasa.
“Selain itu, saya memang minat belajar dan membaca terutama dalam bidang usuluddin sebab akidah ini satu perkara yang memang sukar nak difahami, jadi saya minat untuk menyelami, mendalami ilmu akidah ini khusus untuk diri sendiri, keluarga dan sebagai kadi yang berkhidmat dengan masyarakat,” katanya yang menamatkan pengajian selepas empat tahun.
Terdahulu, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menganugerahkan ijazah doktor falsafah, ijazah sarjana, diploma pascasiswazah, ijazah sarjana muda serta Diploma Pengurusan dan Teknologi Maklumat (FPTM) kepada para graduan.
Walaupun kini berstatus Orang Kurang Upaya (OKU), Muhamad Sabri terus mengajar sebagai guru takmir, guru tauliah Jabatan Agama Islam Perak dan berkhidmat sebagai naib kadi di tiga masjid dalam kawasan Ipoh.
“Masyarakat kita sekarang ramai yang dah bijak, jadi kalau kita sebagai guru perlulah mempunyai ilmu yang lebih sikit bukan untuk menunjukkan kita pandai sangat tapi senang untuk berkongsi ilmu tambahan yang lain,” katanya.
Konvokesyen USAS kali ke-18 itu meraikan 1,755 orang graduan terdiri daripada enam graduan ijazah doktor falsafah, ijazah sarjana dan diploma pascasiswazah (50), ijazah sarjana muda (759) dan diploma (940).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial