KULAI, 6 Dis (Bernama) -- Kerajaan Johor yakin sasaran pembinaan 30,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dalam tempoh lima tahun, dapat dicapai pada suku keempat 2026 susulan perkembangan positif projek perumahan itu setakat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata sehingga kini sebanyak 20,100 unit telah siap dibina dengan serahan kunci kepada pemilik telah dilaksanakan.
Beliau berkata baki kira-kira 9,900 unit dijangka dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan dan mengikut jadual pembinaan.
"Pencapaian kita setakat ini dengan 20,100 unit terbina adalah hampir meliputi keseluruhan daerah," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif Belanjawan Johor 2026, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) Datin Paduka Dr Suhailizan Suliman.
Mohd Jafni berkata pembinaan RMMJ yang merangkumi rumah berharga di bawah RM300,000 adalah meliputi kawasan bandar dan luar bandar.
"Daripada jumlah keseluruhan ini, 15,000 unit dibina di kawasan bandar terutama di bandar raya Johor Bahru, Pasir Gudang, Tebrau, Kulai dan Kota Iskandar," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri menerusi Belanjawan Johor 2026 memperkenalkan inisiatif Perumahan Kasih Johor dengan tiga skim bantuan khas.
Beliau berkata ia meliputi Skim Bantuan Sewa Rumah untuk golongan berpendapatan rendah (B40) yang merangkumi bantuan RM200 selama 10 bulan.
"Skim Bantuan Beli Rumah Pertama pula adalah pemberian subsidi rumah RM5,000 untuk setiap pemohon yang layak bagi rumah berharga bawah RM500,000.
“Sementara Skim Bantuan Masuk Rumah Pertama meliputi bantuan kewangan sekali beri RM2,000," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial