KUCHING, 8 Dis (Bernama) -- Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) Jabatan Premier Sarawak terus memainkan peranan penting memperkukuh komitmen negeri itu terhadap perpaduan dan keterangkuman sekali gus mengulangi keyakinan kepelbagaian adalah aset utama dalam pembangunan ekonomi serta sosial.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata lebih daripada sekadar sebuah agensi pentadbiran, UNIFOR melambangkan dasar keterangkuman kerajaan negeri yang menjadi antara tunjang Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030.
“Dengan menyokong dan menyelaras hal-hal berkaitan kumpulan agama bukan Islam, UNIFOR telah membantu mewujudkan persekitaran di mana keharmonian antara agama bukan sahaja dipelihara malah dipupuk secara aktif.
“Sarawak sudah lama diiktiraf sebagai contoh hidup bersama yang harmoni, dan pendekatan ini telah menjadikan Bumi Kenyalang sebagai model perpaduan serta keharmonian sekali gus menarik perhatian pemimpin negeri lain dan rantau ini yang ingin belajar daripada kita," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Apresiasi UNIFOR malam tadi.
Beliau berkata UNIFOR telah ditubuhkan pada 2017 di bawah Jabatan Premier Sarawak dengan misi jelas bagi memastikan semua komuniti agama lain iaitu Kristian, Buddha, Tao, Hindu, Sikh dan Baha’i diberikan bantuan diperlukan agar mereka memiliki rumah ibadat yang selesa.
“Setiap tahun sejak penubuhannya, kami memperuntukkan dana yang disalurkan melalui UNIFOR sebagai geran untuk membiayai pembinaan dan pembaikan rumah ibadat agama lain di seluruh Sarawak,” katanya.
Abang Johari turut meningkatkan peruntukan kepada UNIFOR dengan mengumumkan tambahan RM10 juta bagi tahun 2026, yang menjadikan jumlah keseluruhan sejak penubuhannya sebanyak RM120 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial