Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
BANGKOK, 8 Dis (Bernama) -- Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) Nurul Huda Abdullah memberi jaminan keselamatan dan kebajikan atlet negara tetap terpelihara walaupun ketegangan antara Thailand dan Kemboja masih berterusan.
Nurul Huda berkata kontinjen Malaysia sentiasa dimaklumkan perkembangan terkini dan diingatkan untuk terus fokus kepada misi mereka pada temasya sukan dwitahunan itu.
Beliau menegaskan bahawa kebimbangan terhadap isu itu tidak seharusnya mengganggu tumpuan atlet kerana semua langkah berwaspada telah diambil bagi memastikan kesejahteraan mereka.
“Setakat ini, semua atlet saya jumpa (dan) pasukan yang telah berada di sini sudah membuat persediaan rapi dan sangat teruja menantikan permulaan temasya. Saya mahu mereka untuk terus fokus kepada perkara itu.
“Setakat ini, tidak perlu bimbang. Kami akan menjaga serta memberi jaminan kepada keselamatan dan kebajikan mereka. Perkara itu menjadi keutamaan,” katanya semasa ditemui pada acara menaikkan bendera Sukan SEA Thailand 2025 di Stadium Tertutup Hua Mark di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Thailand melancarkan serangan udara ke atas Kemboja selepas pertempuran baharu tercetus di beberapa kawasan sempadan yang dipertikaikan, susulan dua pihak itu saling menuduh melanggar deklarasi gencatan senjata.
Nurul Huda berkata penyelarasan telah dibuat dengan Kedutaan Malaysia di Thailand termasuk pengaktifan saluran kontingensi sebagai sebahagian daripada langkah tindak balas pantas.
“Kami sudah mengaktifkan saluran tindak balas pantas 24 jam sehari. Jadi tidak perlu bimbang untuk atlet dan pegawai yang sudah berada di sini,” katanya.
Sementara itu, kontinjen dari semua 11 negara yang mengambil bahagian menyertai acara simbolik itu yang menandakan penganjuran rasmi temasya sukan tersebut dari 9 hingga 20 Dis.
Acara dimulakan dengan perarakan masuk atlet dan pegawai diikuti menaikkan bendera negara dan lagu kebangsaan sebelum diakhiri sesi bergambar berkumpulan.
Malaysia menetapkan sasaran 200 pingat tanpa mengira warna dengan beberapa sukan telah bermula minggu ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial