PUTRAJAYA, 8 Dis (Bernama) -- Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 telah menerima sambutan luar biasa dengan kehadiran 502,804 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya dari 5 hingga 7 Dis lepas di Dataran Putrajaya.
Kenyataan Pejabat Perdana Menteri memaklumkan bahawa program berskala nasional anjuran Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam dan Perbadanan Produktiviti Malaysia itu turut merekodkan pelbagai pencapaian signifikan.
“Ini termasuk kutipan jualan MADANI berjumlah RM2.15 juta merangkumi jualan usahawan, Jualan RAHMAH, Jualan Agro, Pesta Rasa @ Selera Malaysia dan trak makanan. Inisiatif padanan perniagaan pula mencatat nilai melebihi RM400,000,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, kaunter kompaun saman terpilih Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan masing-masing merekodkan kutipan RM98,330 dan RM36,143 menjadikan jumlah keseluruhan RM134,473.
Sepanjang program itu, sejumlah 1,252 individu menerima tawaran pekerjaan melalui sesi temu duga terbuka.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan disertai kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, barisan Jemaah Menteri, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar selain kepimpinan tertinggi Perkhidmatan Awam Persekutuan dan negeri.
Program Rancakkan MADANI menghimpunkan kira-kira 500 pengisian merentasi lapan segmen utama iaitu Belia MADANI, Kesejahteraan Rakyat MADANI, Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA), Produk Rakyat MADANI, Ukhuwah Rakyat MADANI, Jualan MADANI, Tahun Melawat Malaysia 2026 serta Kepengerusian ASEAN dan Diplomasi MADANI.
Antara inisiatif baharu yang dilancarkan ialah Sahabat Penggerak MADANI, Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) 3.0, Pekeliling ILTIZAM, Indeks Prestasi Perkhidmatan Awam (I-PPA), Modul Latihan ARPA serta Buku Malaysia Merdeka.
Dalam ucaptama beliau, Perdana Menteri berkata program itu menjadi platform terbaik untuk rakyat menilai secara langsung pencapaian kerajaan sepanjang tiga tahun pentadbiran MADANI selain membolehkan perkhidmatan, manfaat dan inisiatif kerajaan disampaikan secara terus di satu lokasi.
Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap komitmen semua kementerian dan agensi serta sokongan rakyat yang hadir dalam jumlah memberangsangkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial