AM > BERITA

KKR Perlu Lebih Tegas Terhadap Kontraktor Sambil Lewa - PM

08/12/2025 11:40 AM

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kontraktor yang bersikap sambil lewa atau gagal melaksanakan projek yang diberikan mengikut jadual ditetapkan.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata perkara itu penting kerana KKR merupakan kementerian yang bertanggungjawab terhadap pelbagai projek pembangunan membabitkan kepentingan rakyat.

“Kena sentiasa ada usaha untuk kita percepatkannya kerana misalnya ada orang memerlukan jambatan itu siap pada Januari tetapi tertangguh hingga Februari, sebulan dia derita... tertangguh lagi enam bulan, dia sengsara, tertangguh 10 bulan jadi dukalara.

“Banyak projek infrastruktur ini tonggaknya KKR, jika berjaya, berjayalah pembangunan itu... jadi, kementerian perlu senaraikan semua projek, berapa ratus projek atau mungkin ribu di negara kita... pastikan rekod prestasi mereka, jangan tunggu sehingga selesai... kalau asyik sambil lewa dan lambat, kita nak (KKR) ambil sikap lebih keras pada kontraktor,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KKR di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Timbalannya Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Perdana Menteri juga meminta KKR agar terus memantau dengan teliti dan mengambil tindakan segera jika terdapat sebarang halangan yang boleh menyebabkan kelewatan pelaksanaan projek untuk rakyat.

“Pantau secara terus dan berskala… lihat (projek) yang diuruskan di peringkat kerajaan negeri supaya projek itu dijalankan mengikut jadual... kadang-kadang, pegawai yang turun ke bawah lebih tahu apa diperlukan.

“Sebab itu juga kita ambil Kampung Angkat Sejati MADANI kerana kita tidak mahu terputus hubungan antara rakyat dan pemimpin kerana ini kerja sepasukan... Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Ketua Setiausaha Kementerian semua perlu terus tingkatkan prestasi dari semasa ke semasa,” katanya.

Anwar berkata setiap perkembangan, tindakan dan kecekapan kerajaan perlu dapat dirasai rakyat agar keberkesanan pelaksanaan projek tidak dipersoal.

Beliau merujuk keadaan yang berlaku di Sabah iaitu beberapa projek infrastruktur berdepan isu khususnya membabitkan bekalan air, elektrik dan jalan raya.

“Kita baru selesai pilihan raya... sebagai manusia, saya faham mereka marah... menteri silih berganti, kerajaan silih berganti, Perdana Menteri silih berganti tetapi air belum berganti, elektrik pun begitu... jalan berlubang-lubang, jadi mereka resah, belum cukup yakin... saya tak salahkan mereka. 

“Kita telah luluskan jumlah kewangan paling besar dalam sejarah, keseluruhan perbelanjaan pembangunan dan operasi untuk Sabah RM17 bilion, air hampir RM1 bilion, elektrik RM1.2 bilion tetapi belum siap... jadi, kita kena faham derita mereka, selagi belum siap, dia berasa terpinggir,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan