BANGI, 8 Dis (Bernama) -- Satu Pelan Tindakan Food Bank Kebangsaan 2026-2030 akan dilancarkan awal tahun depan, sebagai kerangka komprehensif bagi memperkukuh pelaksanaan inisiatif bantuan makanan dan memantapkan ekosistem jaringan keselamatan sosial negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata pelan tindakan lima tahun itu kini dalam fasa penyediaan awal dan dibangunkan berasaskan dapatan daripada Konvensyen Food Bank Malaysia 2025, yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.
Beliau berkata hasil perbincangan, syor serta input daripada pelbagai pemegang taruh termasuk badan bukan kerajaan (NGO), pemain industri, peruncit, rangkaian hotel, sukarelawan komuniti dan agensi kerajaan akan digunakan sebagai asas kepada draf pelan tindakan berkenaan.
“Kita menyasarkan berdasarkan dapatan konvensyen ini, untuk mengadakan sesi libat urus susulan dengan kadar segera.
“Sasaran kita adalah untuk hadir dengan Pelan Tindakan Food Bank Kebangsaan 2026–2030 seawal tahun hadapan, kerana ia dokumen penting untuk menetapkan hala tuju, sasaran capaian serta kerangka pelaksanaan secara menyeluruh,” katanya kepada pemberita selepas perasmian konvensyen itu di sini hari ini.
Armizan berkata pelan berkenaan perlu menetapkan matlamat jelas, termasuk sasaran capaian dalam tempoh lima tahun serta keperluan mengenal pasti kelompok masyarakat yang masih belum menerima bantuan makanan, terutama di kawasan tidak diliputi NGO sedia ada.
Beliau berkata walaupun banyak NGO aktif melaksanakan program bank makanan sejak lebih dua dekad, pendekatan bersepadu melibatkan kerajaan adalah penting bagi memastikan keberkesanan, keseragaman standard, kawal selia dan pemantapan sokongan insentif.
“Dalam sesi libat urus, ada NGO yang mencadangkan bantuan peralatan atau pertimbangan insentif cukai.
“Bagi saya, kalau kita mahu kemukakan permohonan tersebut kepada kerajaan, lebih baik kita datang dengan dokumen lengkap yang memaparkan keberkesanan program, potensi masa depan dan keselarasan dengan agenda besar kerajaan,” katanya.
Beliau berkata kementeriannya mahu memastikan transformasi program bank makanan bermula 2026 dijajarkan dengan dua komponen utama, iaitu kelestarian dan keselamatan makanan, serta peranan bank makanan sebagai inisiatif kebajikan yang membantu menangani kos sara hidup dan digerakkan melalui konsep kesepaduan dan tanggungjawab bersama.
Menurut Armizan, pelaksanaan bank makanan perlu diselaraskan dengan komitmen Malaysia terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 12.3, iaitu mengurangkan pembaziran makanan sebanyak separuh menjelang 2030, di samping selari dengan fokus kelestarian alam dan kesejahteraan rakyat dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Kalau kita dapat jajarkan inisiatif bank makanan ini dengan agenda besar kerajaan dan kita dokumenkan dengan baik, saya yakin agensi pusat akan memberi pertimbangan sewajarnya, apatah lagi program ini memberi manfaat kepada golongan kurang bernasib baik,” katanya.
Konvensyen Food Bank Malaysia 2025 yang kali pertama dianjurkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menghimpunkan lebih 1,000 peserta membabitkan agensi kerajaan, pemain industri pengeluaran makanan, peruncit, rangkaian hotel, NGO, sukarelawan komuniti serta lapan Rakan Strategik Utama (RSU) bank makanan di seluruh negara.
Sejak diwujudkan pada 2019, Program Food Bank Malaysia yang diselia Sekretariat Food Bank KPDN telah memberi manfaat kepada 1,164,932 ketua isi rumah dan 51,200 pelajar, selain menyelamatkan 6,511 tan metrik lebihan makanan melalui inisiatif keselamatan makanan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial