AM > BERITA

Yikon Genomics Buka Makmal Pertama Di Malaysia, Pacu Penjagaan Kesihatan Pencegahan Di Asia Pasifik

09/12/2025 11:29 AM

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Peneraju global dalam genetik ketepatan, Yikon Genomics (Yikon), secara rasmi membuka makmal pertamanya di Malaysia hari ini, menandakan langkah penting dalam usaha memperkukuh penjagaan kesihatan reproduktif dan pencegahan di rantau Asia Pasifik.

Dalam satu kenyataan, Yikon memaklumkan kemudahan baharu itu merupakan pencapaian besar dalam peluasan operasi serantau syarikat, sekali gus mengukuhkan misinya untuk menjadikan ujian genetik berteknologi tinggi serta penjagaan kesihatan pencegahan lebih mudah diakses, mampu milik dan memberi impak kepada semua lapisan masyarakat.

Makmal Kuala Lumpur itu akan berfungsi sebagai pusat perkhidmatan dan rujukan bagi rantau Asia Pasifik, menawarkan saringan komprehensif berkaitan kesuburan serta penyakit keturunan, selain merancakkan kerjasama dengan hospital, pusat kesuburan dan institusi penyelidikan.

“Dengan menggabungkan sains termaju dan kerjasama serantau, Yikon berhasrat mempercepat penerimagunaan perubatan ketepatan dan penyelesaian penjagaan kesihatan pencegahan di seluruh rantau ini,” menurut kenyataan itu.

Majlis pelancaran dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Yikon Dr Sijia Lu, yang menyuarakan keyakinan terhadap komitmen Malaysia yang semakin berkembang dalam bidang genomik dan kesihatan pencegahan.

“Dengan pelancaran makmal di Malaysia ini, kami selangkah lebih dekat menuju visi tersebut, bagi membina keluarga yang lebih sihat, komuniti yang lebih kukuh dan sistem kesihatan yang lebih lestari untuk generasi akan datang,” katanya.

Dr Lu menambah bahawa fasiliti Kuala Lumpur itu akan menjadi hab serantau yang menyokong makmal tempatan, mengukuhkan pusat kesuburan dan memajukan penjagaan kesihatan pencegahan di seluruh Asia Pasifik.

“Masa depan perubatan bergantung kepada pencegahan, bukan sekadar rawatan, dan pencapaian ini membawa kami lebih hampir ke arah pembinaan keluarga serta komuniti yang lebih sihat di seluruh rantau ini,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Makmal Yikon Genomics Malaysia Dr David Wong berkata kemudahan tersebut mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam memajukan genetik reproduktif dan perubatan ketepatan.

“Dengan keupayaan penjujukan pelbagai platform yang canggih serta pasukan pakar berdedikasi, hab ini membolehkan rakan kerjasama membina kemampuan tempatan serta mempercepat kemajuan saintifik dan klinikal di seluruh Asia Pasifik,” katanya.

Yikon ialah syarikat bioteknologi terkemuka yang memfokuskan kepada genetik reproduktif, perubatan ketepatan dan kesihatan populasi.

Menerusi teknologi sel tunggal dan DNA input rendah yang maju, syarikat itu menawarkan rangkaian menyeluruh perkhidmatan ujian genetik, termasuk saringan embrio serta penilaian risiko penyakit keturunan dan kanser.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan