AM > BERITA

387 SJKT Terima Papan Pintar Sebelum Sesi Persekolahan 2026 - Ramanan

09/12/2025 04:32 PM

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Sebanyak 387 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) terpilih dari seluruh negara akan menerima 400 unit papan pintar interaktif (smartboard) bermula 20 Dis ini melibatkan peruntukan RM5 juta.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata inisiatif peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) disalurkan oleh Kerajaan MADANI menerusi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

Beliau berkata pengagihan papan pintar kepada sekolah terlibat dijangka selesai sebelum sesi persekolahan tahun depan bermula, iaitu pada 10 Jan 2026.

Ramanan berkata pengagihan dibuat berdasarkan data rasmi daripada Bahagian Pengurusan Aset Kementerian Pendidikan, dengan setiap sekolah yang mempunyai 800 murid ke bawah menerima satu unit, manakala sekolah dengan lebih 800 murid menerima dua unit.

“Inisiatif ini menandakan satu lagi komitmen kerajaan dalam memperkukuh ekosistem pendidikan SJKT, khususnya melalui penyediaan kemudahan moden kepada sekolah agar murid-murid tidak tercicir dalam arus pendigitalan negara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

“Dengan kemudahan ini, sekolah turut diperkasa untuk menjadi hab pembelajaran digital, tempat anak-anak membina kemahiran seperti pemikiran kritis, kreativiti dan kecekapan teknologi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Penyerahan Smartboard di SJKT Vivekananda, Brickfields, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dan Timbalannya, Wong Kah Woh, yang menerima papan pintar berkenaan bagi pihak Kementerian Pendidikan.

Ramanan berkata selain daripada inisiatif papan pintar itu, Kerajaan MADANI juga sebelum ini meluluskan RM12.8 juta untuk menaik taraf peralatan, perabot dan penyelenggaraan di 305 SJKT, Program Tusiyen Percuma Kalvi MADANI bernilai RM8 juta diperkenalkan bagi meningkatkan prestasi akademik murid India keluarga B40 dan Bantuan Subsidi Pendidikan Awal Tadika Swasta bernilai RM7.87 juta.

“Melalui pelbagai inisiatif ini, MITRA telah memperuntukkan sebanyak RM33.67 juta atau satu pertiga daripada peruntukan MITRA bagi tujuan pendidikan awal dan rendah kepada anak-anak masyarakat India pada tahun ini,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan