Oleh Wong Chun Wai
KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita berhubung insiden tikaman yang menyebabkan pelajar perempuan berusia 16 tahun maut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Utama 4 di Selangor pada Oktober lepas.
"Beta tidak pernah terbayang insiden sedemikian boleh berlaku di Malaysia, apatah lagi di Selangor. Beta hanya mampu memikirkan keluarga pelajar itu. Beta amat bersimpati dengan keluarga mangsa yang terkorban," titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah baginda telah memikirkan dengan mendalam tentang kejadian yang berlaku itu.
"Beta telah mendengar banyak pandangan. Satu perkara yang pasti, kita tidak boleh mengabaikan kejadian sebegini. Beta mendoakan supaya insiden ini tidak berulang lagi, di mana-mana sahaja.
"Perkara ini bukan sekadar tentang masalah disiplin, tetapi juga tentang nilai, persekitaran dan pengaruh digital.
"Rakyat Malaysia cepat menyalahkan orang lain. Guru dipersalahkan, Menteri Pendidikan dipersalahkan, kementerian dipersalahkan. Kita menyalahkan orang lain kecuali diri kita sendiri sebagai ibu bapa," titah baginda dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di sini.
Sultan Selangor bertitah, "Kita tidak tahu jenis permainan yang dimainkan oleh remaja bawah umur ini secara dalam talian. Adakah kandungannya bersifat ganas? Adakah mereka mempromosikan kandungan yang dilarang?
"Kita mengharapkan guru menjadi pengganti ibu bapa selepas anak-anak dihantar ke pintu pagar sekolah," titah Sultan Sharafuddin.
Baginda bertitah masalah itu semakin meningkat apabila keluarga terlalu sibuk berhubung, apabila sekolah lebih menumpukan kepada gred berbanding kesejahteraan emosi, apabila platform dalam talian menjadi sumber utama aktiviti sosial kanak-kanak.
Sehubungan dengan itu, Sultan Sharafuddin menyeru supaya literasi digital dan pendidikan empati diperkasakan bukan sahaja di sekolah, tetapi juga terhadap ibu bapa.
"Ambil tahu perkara yang anak-anak lakukan. Tolong mainkan peranan lebih aktif untuk berbual dengan anak-anak. Mereka kini lebih banyak berhubung secara dalam talian berbanding sebelum ini, semakin jauh daripada sifat empati," titah baginda.
Bagaimanapun, Sultan Selangor berasa sukacita apabila kerajaan mengambil langkah untuk melarang kanak-kanak bawah usia 16 tahun daripada mengakses media sosial, sambil menyifatkan langkah itu di landasan yang betul.
Baginda turut menggesa kerajaan untuk mencontohi kerajaan Denmark yang memperkenalkan inisiatif pendidikan yang menekankan pembelajaran sosial dan emosi sebagai komponen utama kurikulum kebangsaan, termasuk kelas mingguan wajib yang menumpukan pembinaan empati dan rasa hormat.
Sejak 1993, semua kanak-kanak di sekolah awam Denmark berumur 6 hingga 16 tahun diwajibkan mengikuti kelas mingguan “klassens tid”.
"Inisiatif seperti ini amat penting. Tidak memadai sekadar menghukum, kanak-kanak perlu belajar menghormati orang lain, termasuk yang berbeza agama dan bangsa, sebagai contoh. Undang-undang sahaja tidak mencukupi.
"Kita mesti memupuk kepentingan nilai, toleransi dan rasa hormat dalam diri anak-anak kita," titah baginda.
-- BERNAMA
Datuk Seri Wong Chun Wai ialah Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial