SHAH ALAM, 9 Dis (Bernama) -- Peserta Program Usahawan Siswazah (GROW) dan Lanjutan (GROW PLUS) Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mencatat jualan kumulatif berjumlah RM105.6 juta bagi tempoh sembilan bulan tahun ini, sekali gus membuktikan keberkesanan modul bimbingan berstruktur.
Pengurus Pembangunan Usahawan PKNS Yuzawati Yusof berkata lonjakan prestasi itu membuktikan kemampuan PKNS memacu transformasi usahawan siswazah mikro dan kecil melalui strategi pemasaran, latihan intensif dan peningkatan profesionalisme dalam pengurusan perniagaan.
“Prestasi jualan tahun ini jelas menunjukkan keberanian peserta mengadaptasi modul dan strategi yang disampaikan menerusi latihan intensif.
“Kami (PKNS) melihat peningkatan konsisten dalam aspek pemasaran, perluasan rangkaian dan ketekunan peserta menambah baik operasi bagi meningkatkan daya saing mereka,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Program Bermodul GROW dan GROW PLUS di Ibu Pejabat PKNS di sini hari ini.
Pada majlis itu, sebanyak 60 usahawan menamatkan program melibatkan lebih 20 modul merangkumi latihan intensif, penilaian berjadual dan sesi pembangunan kemahiran perniagaan menyeluruh dari Mac hingga November lepas.
Hadir sama Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi.
Yuzawati berkata GROW merekodkan RM8.82 juta dengan peningkatan kepada RM1.38 juta pada November yang menunjukkan keberkesanan penambahbaikan strategi pemasaran.
GROW PLUS pula mencatatkan RM96.8 juta dengan pertumbuhan ketara daripada RM4.19 juta pada Mac kepada RM21.74 juta pada November.
“Pencapaian jualan yang tinggi ini bukti bahawa gabungan modul dan sesi bimbingan termasuk pemantauan berterusan memberi impak langsung kepada perkembangan peserta.
“PKNS akan terus menambah baik pendekatan pembangunan usahawan agar mereka bersedia menghadapi persaingan domestik dan antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Mohd Najwan berkata pencapaian jualan hampir RM106 juta oleh peserta itu membuktikan kemampuan usahawan tempatan berkembang serta bersaing melalui bimbingan yang tepat dan berkesan.
Beliau juga menasihatkan semua peserta untuk sedia membantu usahawan yang belum mencapai tahap pendapatan serupa, terutamanya selepas memperoleh manfaat daripada program tersebut.
“Kerajaan negeri melalui PKNS akan terus mengenal pasti usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk mikro yang berpotensi untuk dikembangkan dari aspek operasi serta pemasaran.
“Usahawan perlu terbuka menerima ilmu, bersedia dibimbing serta memanfaatkan program mengikut segmen perniagaan yang disediakan Bahagian Pembangunan Usahawan PKNS,” katanya.
Terdahulu, Mohd Najwan menyampaikan cek cura kepada lima finalis terbaik bagi setiap program selepas membuat pembentangan model perniagaan di hadapan panel juri profesional dengan johan menerima RM3,000, naib johan (RM2,000) dan ketiga (RM1,000).
Program GROW diwujudkan sejak 2006 dan memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran pemasaran dan pengurusan bagi usahawan siswazah mikro secara sistematik.
GROW PLUS diperkenalkan pada 2023 menyasarkan usahawan kecil untuk memperkukuh kapasiti perniagaan dan seterusnya berupaya memasuki pasaran antarabangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial