SUKAN > BERITA

LING CHING BERPOTENSI LAKAR LEBIH BANYAK KEJUTAN DI PENTAS ANTARABANGSA - RASHID SIDEK

10/12/2025 05:42 PM

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Legenda badminton negara Datuk Rashid Sidek yakin pemain perseorangan wanita Wong Ling Ching memiliki potensi besar untuk melakar kejutan di pentas antarabangsa berdasarkan keberanian dan disiplin permainan yang ditunjukkan setiap kali diberi peluang beraksi di gelanggang.

Keyakinan itu turut diperkukuhkan dengan kemampuan Ling Ching menundukkan pemain No.10 dunia dari Indonesia Gregoria Mariska Tunjung dalam aksi berpasukan wanita pada Sukan SEA 2025 di Thailand, sekali gus menjadi bukti jelas terhadap keupayaan sebenar pemain muda itu.

“Saya memang tidak terkejut kalau beliau boleh ‘kejutkan’ pemain ternama. Beliau ada kualiti itu. Sebelum ini pun beliau sudah buktikan dirinya mampu menang ke atas pemain-pemain ternama,” katanya selepas majlis sidang media Pengumuman Pelakon dan Penaja Rasmi bagi filem ‘Sentuhan Wira’ di sini hari ini.

Rashid yang pernah membimbing pemain ranking ke-44 dunia itu berkata Ling Ching sentiasa menunjukkan sikap positif dalam latihan dan berusaha meningkatkan permainan selain tidak gentar berdepan lawan ternama yang lain.

“Dari segi ‘sikap’, memang bagus. Beliau tidak kira siapa berada di hadapannya, yang penting beliau bermain sehabis baik,” katanya.

Pada Isnin lepas, Malaysia hampir menamatkan penantian lapan tahun untuk mara ke final acara badminton berpasukan wanita sebelum tewas 2-3 kepada Indonesia dalam aksi separuh akhir Sukan SEA 2025 di Pathum Thani, Thailand.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia secara tidak rasmi berkongsi pingat gangsa bersama Singapura dalam acara beregu wanita.

Sukan SEA 2025 berlangsung secara rasmi bermula semalam hingga 20 Dis di dua wilayah, Bangkok dan Chonburi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan